Tuesday, July 15, 2008

Ke Mana Arah Shabery?

Paling kurang ada dua pemimpin Umno yang aku kagumi. Fuad Zarkashi dan Shabery Chik.


Bukanlah kerana mereka berdua begitu hebat dan karismatik. Tetapi itulah dua terbaik yang masih berada dalam saf kepemimpinan parti melayu tersebut.


Sekurang-kurangnya mereka berdua masih rasional dan mengguna otak bila berbicara.


Berbanding sebahagian besar pemimpin Umno lain yang lebih cenderung beremosi dan menggunakan kepala lutut untuk berfikir dan berhujah.


Mereka berdua juga bekas pemimpin mahasiswa. Keterlibatan aku yang agak jauh dalam gerakan mahasiswa era 1998-2000 dulu juga memberi ruang untuk aku menyimpan sedikit rasa kagum kepada perintis-perintis denai yang kemudiannya turut aku lalui.


Atas rasional tersebut, aku menyimpan harapan yang tinggi kepada Shabery untuk berhujah secara akademik dengan Anwar dalam debat harga minyak di DBP malam tadi.


Setelah dipolemik dan dipolitik sebegitu rupa, ingin juga aku mendengar hujah yang akademik daripada kerajaan berkaitan rasionalnya mereka menaikkan harga minyak yang begitu tinggi dan mendadak, bahkan melewati paras waras mengikut perkiraan aku.


Dengan title Menteri Penerangan, Shabery adalah orang yang paling bermaklumat tentang sesuatu dasar kerajaan.


Beliau juga seharusnya orang yang memiliki kemahiran yang paling ampuh untuk menerangkan maklumat tersebut kepada sesiapa sahaja yang memerlukan sama ada rakyat, pelabur, negara jiran dan sebagainya.


Namun selepas debat tersebut berakhir, pandanganku terhadap Datuk Shabery Chik berubah secara total!


Bukan sekadar gagal menjelaskan apa yang sepatutnya beliau jelaskan, bahkan beliau tewas knock out (KO) kepada Anwar dalam debat tersebut.


Paling jelas ada tiga kelemahan utama Shabery dalam debat ini. Over confident, tersilap homework dan berperibadi rendah.


Ramai pemimpin Umno lain, termasuk naib presiden telah menasihati beliau supaya jangan berdebat dengan Anwar.


Mungkin jauh dilubuk hati mereka mengatakan "engkau tak akan menang berhujah dengan Anwar"!


Tapi Shabery kata dia akan cadang Pak Lah cari Menteri Penerangan lain jika dia gagal dalam debat dengan Anwar.


Tujuannya hanya satu, nak exposekan diri sendiri. Jika benar dia boleh kalahkan hujah Anwar dalam debat tersebut, nama dan kehebatannya akan harum semerbak dalam kalangan Umno.
Itulah yang dihasratkan.


Nampaknya keyakinan yang melampau tersebut akhirnya makan diri!


Untuk berdebat dengan Anwar, Shabery membuat tiga homework utama pada perkiraan aku.
Mengkaji fenomena kenaikkan harga minyak global serta harga pasaran minyak negara lain dan kesan kepada ekonomi negara tersebut, mengenal pasti hujah kenapa duit Petronas tidak boleh digunakan untuk menurunkan harga minyak, dan mengkaji kelemahan-kelemahan peribadi
Anwar Ibrahim sebelum, semasa dan selepas beliau berada dalam kerajaan.


Apabila Anwar berhujah di luar lingkaran ketiga-tiga homework ini, Shabery terus terperangkap dan panik.


Hujah beliau seterusnya hanyalah peluru kosong yang dia sendiri sedar tidak memberi apa-apa makna.


Sedangkan Anwar begitu gah dan komited dengan pandangan-pandangan yang konstruktif serta fokus terhadap isu yang ingin dicari jawapan dalam debat tersebut, iaitu menurunkan harga Minyak!


Selain terlampau yakin dan tersilap homework, Shabery tewas dalam debat semalam kerana mempunyai sikap peribadi yang sangat lemah.


Tindakan beliau menghabiskan sebahagian besar masa yang diperuntukkan untuk menyerang peribadi Anwar hanyalah menyerlahkan betapa rendah peribadi beliau. Lebih teruk, Anwar tidak membalas pun serangan tersebut.


Datuk Shabery juga mempunyai kemahiran pidato dan kebolehan mengawal emosi yang sangat lemah. Akibatnya beliau terkapai-kapai sepanjang debat tersebut.


Walau apapun perbincangan selepas ini, namun rakyat yang mengikuti debat semalam telah membuat conclusi bahawa Shabery Chik iaitu Menteri Penerangan tewas teruk (KO) kepada Anwar Ibrahim.


Solution yang dicadangkan oleh Anwar untuk menurunkan harga minyak lebih praktikal pada penilaian rakyat.


Shabery pula gagal teruk menjelaskan rasional kerajaan menaikkan harga minyak, apatah lagi ingin mematahkan pandangan konstruktif daripada Anwar Ibrahim.


Persoalannya, ke mana arah Shabery selepas ini?

Meletak jawatan Menteri Penerangan?


atau, tunggu dipecat oleh Pak Lah?

No comments: