Wednesday, July 30, 2008

Krisis Pas: Pecat Timbalan Presiden

Wrote 31 Julai 2008 (10.30 am)

Hari ini jawatankuasa kerja Pas pusat akan bermesyuarat.

Sudah pastinya isu utama yang akan diperdebatkan adalah isu muzakarah dan muqabalah dengan Umno serta penyertaan Pas ke dalam Barisan Nasional (BN).

Ahli Pas di peringkat akar umbi mengharapkan mesyuarat hari ini akan mencapai keputusan positif sekaligus mengembalikan semula keyakinan ahli dan rakyat kepada perjuangan Pas.

Dengan kata lain, ahli Pas dan rakyat berharap pemimpin Pas akan membuat deklarasi 'tiada lagi muzakarah atau muqabalah' dengan Umno selepas mesyuarat nanti.

Kerana ahli dan rakyat keseluruhan menentang sebarang bentuk kerjasama dengan Umno, khususnya dalam suasana politik mutakhir.

Ahli dan penyokong Pas mungkin boleh menerima rasional andai kata pemimpin masih berkeras ingin menjalinkan pertemuan dengan Umno.

Kerana ahli dan penyokong Pas memang sinonim dengan konsep 'dengar dan taat' yang diamalkan dalam Pas.

Namun rakyat jelata khususnya kaum Cina dan India yang memberi sokongan padu kepada Pas dan PR dalam PRU 12 tidak akan menerima keputusan tersebut.

Sekaligus mereka akan menolak Pas secara menyeluruh.

Pas akan menerima nasib malang dalam PRU 13 nanti, mungkin seburuk PRU 2004.

Lebih daripada itu, Pas akan dicop sebagai pengkhianat, mengkhianat kawan dan rakyat marhaen yang memberi kepercayaan kepada mereka.

Seharusnya mesyuarat jawatankuasa kerja Pas pusat hari ini tidak akan membawa keputusan ke arah itu.

Seharusnya semua isu berkaitan muzakarah, muqabalah dan segala nama yang sewaktu dengan ditutup terus.

Pas kemudiannya hendaklah menubuhkan satu 'tribunal' atau 'suruhanjaya' khas untuk membicarakan beberapa pemimpin yang terlibat dalam 'jenayah' ini.

Mereka perlu dibicarakan kerana tindak tanduk mereka hampir menjahanamkan jemaah.

Jika terbukti mereka telah membuat tindakan dan kesilapan peribadi yang melampau, serta bertindak diluar keputusan jemaah, pecat atau arahkan saja mereka meletak jawatan.

Tidak ruginya jemaah mengorbankan seorang pemimpin untuk menyelamatkan jemaah, sekaligus mengembalikan keyakinan ummah dan rakyat kepada perjuangan besar mereka.

Pemimpin yang terlibat juga harus bersedia mengambil tanggungjawab untuk mengundurkan diri demi survival jemaah dan perjuangan.

Kalau Timbalan Presiden yang bersalah sekalipun, pecat atau arahkan saja dia meletak jawatan!

Timbalan Presiden adalah aset dan penting untuk jemaah, namun jemaah dan perjuangan jauh lebih penting.

Jangan biarkan personal memusnahkan jemaah.

No comments: