Friday, July 11, 2008

Peralihan Kuasa: Apa Strategi Pak Lah

Selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dan perjumpaan dengan Jawatankuasa tertinggi Pemuda, Wanita, Puteri dan Putera UMNO, Pak Lah akhirnya mengumumkan peralihan kuasa antara beliau dan Datuk Najib akan dilakukan pertengahan tahun 2010 nanti.

Riak wajah Pak Lah semasa sidang akhbar tersebut langsung tidak menggambarkan keceriaan, jauh sekali menunjukkan keputusan tersebut dibuat dengan kerelaan hati.

Wajah Pak Lah kusam dan mendekam. Air muka Pak Lah hanya menterjemah gelora dan ketidakpuasan hati yang menggunung. Jelas keputusan tersebut dibuat kerana terpaksa dan ditekan.

Tidak sukar membuat telahan kenapa situasi tersebut berlaku.

Pada sebelah paginya Pakatan Rakyat (PR) telah mengemukakan usul tidak percaya kepada Pak Lah sebagai Perdana Menteri (PM).

Sebelumnya juga telah heboh dan bukan rahsia lagi dalam kalangan Ahli Parlimen (AP) BN yang tidak menyukai Pak Lah. Bagi mereka Pak Lah adalah biawak hidup, bebanan yang terpaksa dipikul tanpa hasil yang menguntungkan. Bahkan merosakkan.

Sebelumnya lagi, pelbagai isu melibatkan Pak Lah dan menantunya yang terpaksa dipikul oleh Umno dan BN.

Akhirnya, atas desakan yang bertali arus, Pak Lah akhirnya mengaku kalah seterusnya mengumumkan waktu peralihan kuasa tersebut.

Namun Pak Lah tidak semudah itu menyerah. Pengumuman tersebut penuh helah dan berstrategi.

Antaranya, untuk memastikan Datuk Najib tidak mencabar beliau untuk pemilihan jawatan presiden Disember ini.

Antaranya juga, untuk mengelakkan MP BN menyokong usul tidak percaya terhadap beliau, sekaligus berpindah kepada PR.

Dalam masa sama, Pak Lah pasti memasang strategi supaya pelan peralihan kuasa seperti yang diumumkan tersebut tidak akan berlaku.

Khairi si menantu juga pasti mencongak strategi. Jika peralihan kuasa tersebut berlaku sebagaimana yang diumumkan Pak Lah, beliau akan terpelanting daripada politik Umno dan BN.

Kita tunggu apa pecak langkah seterusnya oleh mertua dan menantu ini!

No comments: