Sunday, August 31, 2008

Bajet, Ramadan & Peralihan Kuasa

Bajet
Hari Jumaat lepas saya sempat bersama-sama di parlimen, mengikuti pembentangan bajet oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Kewangan Malaysia.

Meskipun bajet tersebut boleh diikuti melalui siaran langsung televisyen, namun saya hadir juga ke parlimen untuk merasa feel pembentangan tersebut.

Selain merasa sendiri kehangatan di parlimen, kesempatan juga diambil untuk berjumpa dengan kawan-kawan yang sebahagiannya sudah bergelar Yang Berhormat (YB).

Tidak banyak yang menarik untuk diperkatakan tentang bajet. Cuma sedikit bimbang limpahan pemberian oleh kerajaan tersebut tidak sampai ke sasaran, iaitu rakyat di bawah, sebaliknya dikaut oleh syarikat pembekal dan kontraktor kroni.

Contohnya peruntukan untuk meningkatkan prasarana pengangkutan awam. Bimbang bajet tersebut hanya menguntungkan syarikat pembuat badan bas Rapid KL dan penyediaan tren komuter, LRT, monorel dan lain-lain.

Saya memperolehi dokumen pembentangan bajet tersebut lebih awal. Secara keseluruhan pembentangan tersebut mengandungi 125 paragraf. Pada penilaian saya, dokumen tersebut bersifat pentadbiran yang memaparkan agihan angka-angka untuk setiap kementerian.

Saya menjangkakan bahawa Pak Lah akan membentangkan bajet tersebut dengan menggunakan teks lain yang ditambah dengan beberapa falsafah dan nilai politik. Saya biasa mengistilahkan perkara ini sebagai political hit.

Rupanya tidak, Pak Lah hanya membaca dan membentang teks yang sama. Sebab itulah masa yang diambil tak sampai pun dua jam. Berbanding pembentangan bajet oleh mantan Menteri Kewangan sebelum ini, Tun Dr Mahathir yang mencecah tiga setengah jam, pembentangan oleh Pak Lah dikira agak cepat.

Secara peribadi saya merasakan Pak Lah mensia-siakan peluang untuk memasukkan beberapa nilai politik dalam pembentangan tersebut.

Sekiranya saya menjadi setiausaha politik PM, atau team pemikir Pak Lah, mustahil saya lepaskan teks bajet tersebut dibentangkan oleh PM dalam keadaan begitu.

Apapun, saya bukan SU Politik beliau!

Ramadan

Hari ni semua umat Islam menyambut Ramadan.

1 Ramadhan jatuh pada 1 September.

Susah jugak nak jumpa bulan hijrah dan bulan masihi sama macam ni.

Kepada semua diucapkan selamat menyambut Ramadhan yang mulia.

Peralihan Kuasa

Semasa berada di parlimen tempoh hari, ada kawan berkata "ini pembentangan bajet terakhir" Pak Lah.

Hairan juga saya. Rasanya Pak Lah akan serah kuasa kepada Datuk Najib pertengahan Oktober 2010.

Maknanya, paling kurang Pak Lah akan bentang bajet dua kali lagi kalau dia kekalkan diri dia sendiri sebagai Menteri Kewangan.

Tapi kawan tadi kata, "akan berlaku peralihan kuasa daripada BN kepada PR untuk perseketuan Malaysia".

Anwar akan jadi PM yang baru.

Entah betul atau tidak dakwaan itu hanya beliau yang tahu.

Tapi bila tengok popularnya Anwar diserbu oleh wartawan selepas bajet tersebut, saya turut terkedu.

Mungkin betul apa yang kawan tadi kata.

Sebelum berangkat turun dari tingkat 24 hotel penginapan, sempat saya menyaksikan panorama senja yang sedang membungkus bandaraya KL.

Lalu terdetik di hati kecil, adakah dinasti pemerintahan kotaraya ini akan bertukar selepas ini?

No comments: