Friday, August 22, 2008

Bantu Anwar: Rayuan Mursyidul Am Pas

Kepada Seluruh Rakyat Malaysia, Khasnya Permatang Pauh.

Tuan/Puan,

Alhamdulillah. Setelah sempat mengikuti sendiri proses penamaan calon di Permatang Pauh pada 16 Ogos 2008, sedarlah saya yang ia adalah sebuah pilihan raya kecil yang amat sengit. UMNO/BN melihat pertarungan ini perlu memberi kemenangan mandatori kerana kekalahan boleh membawa kepada Pakatan Rakyat maju ke hadapan untuk mara ke Putrajaya. Mereka cukup takut kedatangan tanggal 16 September 2008 kerana di sana ada sesuatu yang mereka percaya akan berlaku. Jadi menyekat DSAI adalah menjadi keutamaan mereka yang paling atas.

Saudara/Saudari Sekalian,

Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berkempen untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh yang akan berlangsung pada 26 Ogos 2008 nanti. Kita semua maklum bahawa penyertaan beliau dalam pilihan raya kecil ini adalah untuk meneruskan perjuangan menegakkan keadilan sekaligus menentang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah dalam pemerintahan negara seperti yang sedang kalut diperkatakan di dada-dada akhbar. Semua ini untuk membetulkan landasan supaya negara kita selamat dari ancaman kegelinciran iman, aqidah dan taqwa kepada Allah S.W.T.

Walaupun telah dihina dan diaibkan dengan teruk 10 tahun lalu, saya perhatikan musuh-musuh yang tidak berperikemanusiaan tidak pernah puas untuk menzalimi beliau. Dengan modal yang sama, sekali lagi beliau difitnah dengan tuduhan yang tidak tergamak untuk saya menyebutnya.

Saya tetap dengan pendirian bahawa fitnah terhadap Datuk Seri Anwar adalah konspirasi politik. Saya juga berpendirian bahawa sumpah yang dibuat oleh orang yang menuduh baru-baru ini penuh dengan persoalan dan keraguan.

Atas kesedaran ini, jauh dari dasar hati biarpun terlantar di katil hospital, izinkan saya menggagahkan diri, merayu seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik menentang keras budaya fitnah dan konspirasi yang menjelekkan seumpama ini. Sikap protes ini harus lantang dan konsisten hingga sampai ke peti undi pada 26 Ogos 2008.

Wassalam.



DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Mursyidul Am PAS

Tanggal : 18 Sya’ban 1429/20 Ogos 2008.

No comments: