Tuesday, August 26, 2008

Permatang Pauh: Berubahkah Lanskap Politik Malaysia?

Saya tidak berkesempatan untuk merasai sendiri kemeriahan pada malam terakhir kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Ketidakhadiran saya bukan disebabkan arahan polis supaya 'orang luar' tidak hadir ke Permatang Pauh, tetapi disebabkan alasan lain yang tidak boleh dielakkan.

Kalau kelapangan, pasti saya akan ikut serta. Persetankan saja arahan polis supaya 'pelancong politik' tidak melawat Permatang Pauh pada masa ini.

Seingat saya, inilah arahan paling gila pernah dikeluarkan oleh pihak polis.

Sebelum ini tidak ada arahan seumpama ini.

Sebagaimana biasa, pilihanraya kecil akan mengundang kehadiran puluhan bahkan ratusan ribu 'pelancong politik' ke kawasan yang terlibat.

Perkembangan ini seringkali menjadi 'durian runtuh' kepada penduduk tempatan, khususnya peniaga kecil dan gerai makanan. Yang tak pernah berniaga pun akan buka gerai musim ini.

Tiba-tiba untuk pilihanraya Permatang Pauh ini, 'pelancong politik' diharam datang.

Ini satu perkembangan baru yang mengejutkan!

Larangan ini juga merupakan lanjutan daripada beberapa siri kejutan sempena pilihanraya ini.

Bermula dengan tuduhan liwat, sumpah laknat, imam masjid yang jadi saksi sumpah turut berceramah, pendirian mufti-mufti yang berbeza, konsul Mongolia yang berceramah atas pentas politik BN, semuanya adalah siri kejutan.

Kejutan pra penamaan calon dah ada.

Kejutan hari penamaan calon pun dah ada.

Kejutan sepanjang kempen berlambak-lambak.

Apakah ada lagi kejutan selepas pilihanraya ini?

PR ke Putrajaya?

Untuk mendapatkan perkembangan mutakhir, saya telefon kawan-kawan yang berada di Permatang Pauh untuk mendapat gambaran sebenar.

Salah seorang kawan yang begitu efektif dalam membuat analisis pilihanraya memberitahu;

"Hanya kiamat yang boleh menghalang Anwar menang esok"!

Terkejut saya mendengar respon itu.

Namun itulah hakikat gambaran sebenar kawan-kawan yang berada di lapangan.

Walaupun kurang bersetuju dengan ungkapan itu, saya terpaksa terima hakikat bahawa itulah sebahagian emosi yang sedang marak di Permatang Pauh malam tadi.

Saya juga dimaklumkan oleh kawan-kawan bahawa Anwar Ibrahim akan masuk ke Dewan Rakyat pada 29 Ogos 2008 ini.

Hari yang sama PM, Abdullah Badawi akan bentang bajet.

Kawan-kawan juga memaklumkan beberapa hari selepas itu akan berlaku lagi kejutan.

Ramai ahli parlimen BN akan memohon untuk bertukar tempat duduk di bahagian pembangkang dalam parlimen.

Kemudian akan dikemukan usul undi tidak percaya terhadap Pak Lah sebagai PM.

Kemudian Anwar akan dilantik sebagai PM baru Malaysia.

Sejauhmana kebenaran rumus ini tidaklah saya ketahui.

Cuma harapan kita, apa pun percaturan orang-orang politik kat atas sana tidak kira BN, PR atau yang berkecuali (Pasir Mas - Ibrahim Ali), utamakan keamanan negara dan keselamatan rakyat.

Sebagai rakyat biasa, kami terima yang terbaik untuk kami.

No comments: