Sunday, August 17, 2008

Sumpah Telan al-Quran

Semalam saya berlegar-legar dalam kawasan parlimen Permatang Pauh. Memerhati, menilai dan membuat justifikasi perlakuan manusia yang terlibat secara langsung dalam pilihanraya kecil bagi kawasan parlimen tersebut.

Terlalu banyak perkara menarik untuk dikongsi. Namun adalah mustahil untuk mendokumenkan semula semua kronologi yang berlaku. Biarlah sebahagian besar pemerhatian tersebut menjadi sejarah dalam diri, untuk dikongsi kemudiannya dengan anak cucu, dan kemudiannya dibawa mati.

Dalam sekian banyak perkara, ada satu yang agak menarik untuk dikongsi.

Pada sebelah pagi saya bersarapan dengan kawan-kawan yang menetap sekitar Pulau Pinang. Sebilangan mereka adalah pengundi bagi parlimen Permatang Pauh.

Salah seorang daripada mereka adalah orang kuat Umno. Saya katakan orang kuat Umno kerana beliau pernah memegang beberapa pos penting dalam Umno Bahagian Permatang Pauh. Sehingga sekarang beliau masih lagi aktif dengan Umno. Beliau pun tidak lama dengan kami, kerana terpaksa bergegas untuk menghadiri satu perjumpaan dengan orang Umno.

Menariknya apabila beliau memulakan perbualan dengan mengatakan...,

"esok Razak Baginda yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya akan bersumpah dengan al-Quran untuk menafikan dia terlibat dengan pembunuhan gadis Monggolia tersebut".

"Kemudian Azilah dan Sirul akan bersumpah dengan memakan al-Quran untuk membuktikan mereka tidak membunuh Altantuya".

"Kemudian bebaskan saja mereka dari penjara kerana mereka telah bersumpah dengan nama Allah, junjung dan makan al-Quran untuk membuktikan mereka tidak bersalah".

Saya tergelak besar menimati lawak pagi tersebut.

Kemudian beliau menyambung..,

"Lepas ni suami Wan Nor Azlin yang melarikan diri sebab diburu oleh along turut keluar dan bersumpah dengan al-Quran bahawa beliau tidak meminjam pun duit daripada ceti haram tersebut. Jadi along tak boleh lagi cari beliau.."

Saya terus tergelak mendengar lawak bodoh tersebut.

Kemudian beliau menyambung lagi..,

"Lepas ni semua mahkamah tutup. Penjara tutup. Balai polis tutup. Perkasakan saja institusi sumpah menyumpah. Naikkan gaji imam masjid kerana tugas imam sudah bertambah. Imam sekarang bukan saja untuk sembahyang dan nikah kahwin, tetapi juga untuk menjadi saksi sumpah menyumpah apabila berlaku saja pertikaian".

"Selepas ini mungkin ada imam masjid yang terpaksa dikejutkan pada waktu dinihari untuk menjadi saksi seorang pencuri yang ditangkap oleh rukun tetangga bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak mencuri".

Begitulah bicara beliau pagi semalam. Sebenarnya saya tidak ambil kisah pun kata-kata beliau tersebut, walaupun ada sedikit sangsi kenapa kawan-kawan Umno berbicara seperti itu.

Setelah bertemu, berbual dan makan-makan dengan ramai lagi kawan-kawan di Permatang Pauh, barulah saya sedar bahawa kawan yang Umno tadi tidak bersendirian dengan idea beliau.

Saya boleh rumuskan bahawa sebahagian besar kawan-kawan yang berada dalam Umno tidak percaya dan menolak secara mutlak sumpah yang dibuat oleh Saiful Bukhari yang mendakwa diliwat oleh Anwar Ibrahim.

Bahkan saya dapati kawan-kawan yang berada dalam Pas lebih cenderung untuk mempercayai sumpah tersebut berbanding orang Umno.

Kawan-kawan dalam Pas hanya sedikit kendur apabila pemimpin mereka iaitu Ustaz Hadi Awang dan Nik Aziz turut menolak sumpah yang dibuat oleh Saiful Bukhari.

Saya tidak berminat untuk menganalisis isu ini, saya hanya mencatat apa yang saya temui sambil makan-makan char kuew tiow

No comments: