Saturday, September 13, 2008

Bijaknya Hamid Albar

Semalam saya sempat mengikuti laporan sidang akhbar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar di Bukit Aman tentang penahanan beberapa individu dibawah akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Secara peribadi, saya memang menolak undang-undang ISA kerana ia bertentangan dengan nilai akademik, keadilan dan ketamadunan manusia.

Jadi saya tidak berminat untuk mengulas penerangan beliau tentang rasional tiga orang tersebut ditahan, serta rasionalnya salah seorang tersebut yang akhirnya dibebaskan.

Pun saya takut juga, ulas lebih-lebih nanti, saya juga akan dipaksa pergi kursus pertanian berasaskan teknik fertigasi di kolej ISA yang terletak di Kemunting itu.

Sekarang musim orang kursus pertanian. Bulan puasa pun pergi kursus juga. Sempat lagi singgah kat Macau, Hong Kong. Mungkin nak belajar macam mana nak integrasikan industri pertanian dengan industri perjudian.

Cuma saya nak ulas sikit tentang kecerdikan, kebijaksanaan dan kesarjanaan Menteri Dalam Negeri yang terserlah sepanjang sidang akhbar tersebut.

Pertama, sidang akhbar tersebut dibuat dalam Bahasa Inggeris. So, seluruh dunia boleh memahami apa yang diperkatakan oleh si menteri berdarah mulia tersebut.

Dalam masa yang sama, sidang akhbar tersebut penuh sesak dengan wartawan dalam dan luar negeri. Impaknya pasti bergema ke seluruh jagat.

Kebijaksanaan anak Albar ini paling terserlah apabila beliau menjawab soalan wartawan yang bertanya kenapa Datuk Ahmad Ismail, bekas ketua Umno Bahagian Bukit Bendera tidak ditahan bawah ISA, sedangkan dia yang mencetuskan isu perkauman ini?

Lalu Hamid menjawab, "Parti dah ambil tindakan terhadap dia. Dia dah digantung (keahlian) selama tiga tahun".

Saya sangat puas hati mendengar penjelasan ini.

Inilah penjelasan paling munasabah dan rasional yang pernah dikeluarkan oleh seorang menteri kabinet abad ini.

Saya yakin, penjelasan ini akan diterima oleh seluruh sarjana sosial dan sarjana undang-undang segenap pelusuk bumi.

Kerana penjelasan ini sangat rasional dan waras.

Amalan ini harus diikuti dan diamalkan oleh negara-negara lain di dunia untuk memastikan keadilan tertegak dalam negara masing-masing.

Polis tidak boleh menangkap seorang pemuda yang merompak, kerana ayahnya dah tarik telinga dia sebagai hukuman. Dia dah dikenakan tindakan oleh keluarga!

Polis tidak boleh tangkap seorang perogol, kerana dia dah ditinggalkan isteri. Dia dah dikenakan tindakan oleh peraturan rumah tangga!

Polis tidak boleh tangkap seorang penagih dadah, kerana dia dah dipulau oleh orang kampung. Dia dah dikenakan tindakan oleh organisasi sosial kampung!

Undang-undang negara yang dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta diluluskan oleh YDP Agong dianggap tidak terpakai apabila ada organisasi lain telah mengambil tindakan terhadap mana-mana pelaku kesalahan tersebut.

Terima kasih Datuk Seri kerana memahami hamba yang bodoh ini!

No comments: