Wednesday, October 22, 2008

Dilema Rafidah

Sebahagian anggota wanita umno menggelarkan Rafidah Aziz, ketua pergerakan tersebut sebagai wanita besi.

Gelaran tersebut diberi kononnya disebabkan ketabahan dan ketekalan Rafidah mengharungi ombak politik dalam dan luar umno.

Dalam umno, beliau berjaya bangkit semula untuk menewaskan Zaharah Sulaiman walaupun pernah kehilangan kerusi nombor satu wanita umno kepada bekas menteri kesihatan tersebut.

Di luar umno, beliau berjaya mengharungi serangan berterusan terhadap tuduhan rasuah melibatkan kelulusan projek dan saham kepada kroni dan ahli keluarga, khususnya kepada menantu beliau.

Kehebatan Rafidah lebih terserlah apabila saudara Ezam yang mengetuai kempen pembongkaran rasuah dan salah guna kuasa terhadap beliau akhirnya merengkok dua tahun dalam penjara di bawah akta rahsia rasmi (OSA) akibat membocorkan maklumat penyelewangan tersebut yang dianggap sebagai rahsia rasmi kerajaan.

Kehebatan beliau terserlah lagi apabila Ezam seolah-olah mengaku segala kesilapan beliau apabila dengan penuh kehinaan dan rasa rendah diri memohon dan merayu menyertai semula umno sebagai ahli seumur hidup.

Setelah berakhir PRU 12, Rafidah tidak dilantik sebarang portfolio dalam kabinet 2008Abdullah Badawi.

Bermula detik itulah, Rafidah menjelmakan dirinya sebagai penentang yang kuat terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Pak Lah.

Beliau adalah antara personel utama umno yang mula-mula menyuarakan pandangan supaya pak Lah berundur.

Apabila Pak Lah menunjukkan sikap tidak akan mengalah kepada tuntutan tersebut, Rafidahlah orangnya yang bertanggungjawab mengeluarkan ingatan kepada Pak Lah, "jangan samapai nasi menjadi bubur".

Rafidahlah juga orang yang bertanggungjawab menyambung lidah saraf Muhyiddin Yassin untuk mendesak Pak Lah menyegerakan plan peralihan kuasa daripada Jun 2010 kepada tarikh yang lebih awal.

Maklumat dalaman umno mendedahkan bahawa Rafidahlah salah seorang pemimpin umno yang bersuara dengan lantang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) untuk mendesak Pak Lah menyerahkan jawatan PM kepada Datuk Najib lebih awal berbanding Jun 2010.

Akibat desakan beliau dan beberapa pemimpin utama umno yang lain seperti Hishammuddin, Shafie Afdal dan Muhyiddin, akhirnya Pak Lah bersetuju menyegerakan plan peralihan kuasa daripada Jun 2010 kepada Mac 2009.

Tercapailah hajat dan cita-cita Rafidah.

Namun beliau langsung tidak menjangkakan bahawa beliau akan berhadapan situasi yang sama dengan situasi yang dihadapi oleh Pak Lah.

Segalanya bermula apabila beliau menetapkan plan peralihan kuasa ketua wanita umno daripada beliau kepada timbalannya, Shahrizat Jalil pada jun 2009.

Atas alasan plan tersebut, dia memutuskan untuk mempertahankan jawatan ketua wanita umno, manakala Shahrizat mempertahankan jawatan timbalan.

Shahrizat sendiri mengumumkan beliau tidak akan bertanding ketua wanita, oleh itu bahagian-bahagian diminta tidak mencalonkan beliau untuk jawatan nombor satu tersebut.

Namun lain pula yang difikirkan oleh akar umbi wanita umno.

Ada wanita umno di peringkat bahagian yang mengatakan tidak rasional untuk Rafidah melanjutkan tempoh untuk memegang jawatan ketua wanita hanya untuk tiga bulan sahaja lagi.

Ini kerana perhimpunan agung umno pada bulan Mac, Rafidah rancang serah jawatan pada Sharizat bulan Jun.

Ada juga wanita yang mengatakan adalah tidak bijak untuk wanita umno tidak mempunyai ketua untuk masa hampir tiga tahun selepas ini.

Ini kerana pemilihan umno hanya tiga tahun sekali. Menunggu pemilihan akan datang, ketua wanita hanya akan dipangku oleh Sharizat, bukannya jawatan rasmi.

Ada juga wanita umno peringkat bawahan yang mengatakan Rafidah sudah tidak relevan lagi dalam arus politik Malaysia. Sama seperti tidak relevannya Pak Lah sebagai PM Malaysia dan sebagai presiden umno.

Berasaskan pandangan-pandangan di atas, maka banyak bahagian wanita umno mencalonkan Shahrizat untuk jawatan ketua wanita.

Jumlah yang telah diperolehi oleh Shahrizat sudah melebihi kouta yang melayakkan beliau bertanding jawatan nombor satu tersebut.

Situasi ini menunjukkan isyarat yang kuat daripada akar umbi wanita umno yang ingin menolak Rafidah.

Situasi ini meletakkan Rafidah dalam dilema.

Adakah dia akan mempertahankan jawatan ketua wanita tersebut dalam pemilihan akan datang sejajar dengan gelarannya sebagai wanita besi yang tidak akan tunduk kepada orang lain?

Atau dia beralah sahaja dengan menyerahkan jawatan tersebut kepada Shahrizat sebagaimana Pak Lah menyerah kepada Najib.

No comments: