Monday, October 6, 2008

Pas Terengganu

Artikel saya tentang Pas Terengganu mendapat reaksi berbeza daripada kawan-kawan. Ada yang menentang, ada yang bersetuju.

Saya tidak kisah, saya sangat terbuka dalam perkara ini. Perbincangan yang sihat dan matang perlu digalakkan untuk mengurai sebarang kekusutan, mencerah jalan kegelapan, merungkai permasalahan serta mencari kaedah terbaik mencapai kejayaan.

Pas adalah sebuah parti berasaskan politik dan dakwah. Pas adalah sebuah pergerakkan massa. Pas bukan sebuah jemaah yang mengamalkan ajaran ritual yang tertutup dan statik. Dalam istilah yang lebih tepat, Pas adalah gerakan haraki.

Dasar Pas adalah tetap iaitu Islam. Namun strategi, kaedah, pendekatan dan tatacara boleh dipelbagaikan secara fleksibel sesuai mengikut keadaan atau waqi' semasa.

Saya tidak pernah mengatakan pemimpin Pas Terengganu terkeluar daripada dasar Pas yang asal iaitu Islam.

Yang saya tegaskan, pemimpin Pas Terengganu cetek dalam strategi menguasai massa. Mereka hanya syok dengan pegangan sendiri tanpa memikir dan menilai penerimaan rakyat secara keseluruhan.

Saya tidak percaya Pas Terengganu ditolak oleh rakyat kerana pegangan mereka yang kuat terhadap dasar Islam. Mustahil rakyat Terengganu yang majoritinya Melayu dan Islam menolak Pas kerana dasarnya Islam.

Sedangkan di negeri lain Pas sudah mula diterima oleh orang bukan Islam walaupun mereka tahu bahawa dasar Pas adalah Islam.

Pas Terengganu ditolak oleh rakyat Terengganu kerana kejahilan, kecetekan dan ketumpulan mereka mengatur strategi untuk menarik sokongan rakyat kepada perjuangan Pas.

Berulang kali saya ulangi bahawa politik adalah persepsi. Sesebuah parti politik akan disokong oleh rakyat dan menang pilihanraya apabila persepsi rakyat terhadap parti politik tersebut baik.

Dalam konteks Terengganu, persepsi majoriti rakyat Terengganu terhadap Pas belum baik. Pas masih hodoh pada penilaian mereka. Sebab itu mereka menolak Pas, khususnya dalam pilihanraya umum 12 yang lepas.

Jika dianalogi kepada perniagaan, majoriti pemimpin tertinggi Pas Terengganu sangat jahil ilmu pemasaran.

Barang yang nak dijual oleh Pas sangat bermutu dan bernilai. Tidak ada sesiapa yang berani nafikan hakikat ini, kerana Pas memasarkan Islam untuk dijadikan keperluan dalam kehidupan manusia.

Masalahnya pemimpin Pas Terengganu cetek ilmu pemasaran. Mereka berjual barang dengan bengis, bahasa kasar, hina pelanggan, tak dengar aduan pelanggan, pakai baju busuk, lokasi jualan tidak strategik, buka kedai tengah malam manakala siang tutup, tidak mahir memujuk dan lain-lain lagi.

Apabila barang jualan tidak laku mereka akan kata, "kami rela tak laku asalkan barang kami adalah yang terbaik".

Akhirnya kata-kata ini diratib oleh pengikut dengan sedikit olahan, "kami rela kalah kerana mempertahankan dasar Islam".

Hakikat inilah yang paling sukar saya terima. Bagi saya kita tidak kalah kerana mempertahankan dasar Islam. Kita kalah kerana kedunguan kita membawa nilai Islam kepada masyarakat. Kekalahan kita kerana kita gagal mempamer isi Islam yang sebenar kepada masyarakat.

Pemimpin Pas Terengganu lebih suka mempamerkan slogan berbanding isi sebenar Islam.

Banyak bukti boleh dikupas terhadap dakwaan ini. Namun saya tidak kesempatan. Saya akan detailkan selepas ini.

Saya hanya nak sentuh sikit situasi selepas PRU 12 yang lepas.

Selain Terengganu, Pas dan Pakatan Rakyat (PR) secara umumnya diterima baik oleh rakyat dalam PRU 12 yang lepas.

Secara umum, rakyat Malaysia (kecuali Terengganu) mengundi Pas dan parti-parti lain dalam PR secara blok, iaitu memberi kepercayaan kepada pembangkang.

Pas sendiri menyertai PRU 12 yang lepas dengan manifesto Ke Arah Negara Berkebajikan dan berslogan Pas For All (Pas untuk semua).

Dalam PRU yang lepas Pas tidak menyebut Islam dan Negara Islam dalam manifesto mereka. Pas hanya menyebut negara berkebajikan. Sedangkan isi yang terkandung dalam 'negara berkebajikan' tersebut semuanya adalah nilai-nilai dan ciri-ciri Islam.

Kita hanya mengubah sedikit tajuk buku, sedangkan isinya sama.

Kita hanya mengubah sedikit melodi, sedangkan skripnya sama.

Kita hanya mengubah sedikit label pada kotak, sedangkan isinya sama.

Kita hanya ubah sedikit persembahan, sedangkan motifnya sama.

Ditambah dengan sedikit perisa Pas For All, akhirnya Pas diterima sedikit sebanyak oleh rakyat (kecuali di Terengganu) walaupun penerimaan ini secara blok.

Ini membuktikan pendekatan ini ada kejayaan.

Selepas PRU 12, dan timbul ura-ura PR akan membentuk kerajaan baru persekutuan menggantikan BN, beberapa pemimpin Pas Terengganu dengan lantang bersuara;

1. "Matlamat kita adalah membentuk negara Islam. Kita tidak akan menyertai Pakatan Rakyat jika Islam tidak menjadi tunjang pemerintahan".

2. "Dasar kita adalah Islam. Kita tidak akan menyertai kerajaan PR jika dasar Islam tidak boleh dijadikan asas bernegara".

Ini hanya dua contoh, banyak lagi sebenarnya.

Sebahagian kata-kata ini dikeluarkan oleh Pemimpin Pas Terengganu, seolah-olah merekalah juara kepemimpinan Pas Malaysia.

Terlupakah mereka kepada manifesto Pas dalam PRU lepas "ke arah negara berkebajikan".

Semua orang faham bahawa kandungan dalam manifesto tersebut adalah dipenuhi ciri dan nilai pemerintahan Islam, pemerintahan Rasulullah, pemerintahan Umar Abdul Aziz dan lain-lain.

Tapi pada waktu itu Pas mengambil sikap untuk mengubah sedikit tulisan label pada kotak.

Rakyat yang kurang kefahaman, termasuk non muslim boleh menerima pendekatan tersebut.

Ulama-ulama Pas sendiri mengatakan pendekatan ini adalah syarie, tidak menyalahkan syarak dan dasar perjuangan.

Kenapa sebahagian pemimpin Pas Terengganu berpaling arah, melaungkan slogan lain yang tidak menepati persetujuan yang telah dicapai oleh jemaah sebelum ini?

Kenapa mereka memilih untuk melaungkan slogan, sebaliknya tidak berusaha untuk membolehkan wujud kerajaan supaya nilai-nilai yang disebut dalam manifesto tersebut boleh dilaksanakan?

Inilah yang paling saya bimbang, pemimpin Pas Terengganu tidak hanya mencerminkan wajah hodoh Pas pada pandangan rakyat Terengganu, sebaliknya akan turut mempamer wajah hodoh Pas pada pandangan Rakyat Malaysia jika dibiarkan.

2 comments:

Seroding said...

you mentioned,

Saya hanya nak sentuh sikit situasi selepas PRU 12 yang lepas.

Selain Terengganu, Pas dan Pakatan Rakyat (PR) secara umumnya diterima baik oleh rakyat dalam PRU 12 yang lepas.

Secara umum, rakyat Malaysia (kecuali Terengganu) mengundi Pas dan parti-parti lain dalam PR secara blok, iaitu memberi kepercayaan kepada pembangkang.

Pas sendiri menyertai PRU 12 yang lepas dengan manifesto Ke Arah Negara Berkebajikan dan berslogan Pas For All (Pas untuk semua).

my question to you... is it the same manifesto used by PAS including PAS Terengganu during last GE?

And you also claimed that you are part of PAS Terengganu election machinery during last GE. Can you elaborate a bit details what are the differences with regards to strategy used by PAS Terengganu compared to PAS in other states. Perhaps you can compare strategy used by PAS Selangor vs strategy used by PAS Terengganu for instant.

tq.

Seroding said...

you also mentioned...

Banyak bukti boleh dikupas terhadap dakwaan ini. Namun saya tidak kesempatan. Saya akan detailkan selepas ini.

for this statement.. i'll reserve my comments until your further details unveiled.

tq