Saturday, October 11, 2008

Perceraian Agung

1. Mutakhir ini, majoriti akhbar memberi fokus utama mereka terhadap pergolakan politik tanah air. Seperti biasa, akhbar mainstream menjadikan mesyuarat bahagian-bahagian umno dan pemilihan kepemimpinan parti tersebut menjelang Mac ini sebagai paparan utama mereka. Seolah-olah akhbar-akhbar tersebut adalah suara rasmi umno.

2. Walau apa pun pelan peralihan serta perancangan yang diputuskan oleh umno menjelang pemilihan kepemimpinan mereka, saya kuat untuk mengatakan jangka hayat umno semakin menuju noktah akhir. Umno sekarang umpama nukleus radioaktif yang mengalami penyusutan jisim dan kereaktifan berasaskan konsep separa hayat (half life), yang akhirnya akan habis walau apa usaha sekalipun dilakukan untuk menyelamatkan.

3. Pergolakan mereka menjelang pemilihan ini membuktikan virus yang memamah sel-sel dalam tubuh umno sudah tidak terkawal. Ubat anti virus sudah tidak memberi sebarang kesan lagi. Sekarang mereka menggunakan sinar gama untuk membunuh sel-sel kanser tersebut. Oleh kerana sel kanser yang sedang memamah tubuh umno terlalu banyak dan kuat, maka banyak sinaran gama yang perlu digunakan. Akhirnya sel-sel badan umno yang lain turut mati akibat kemoterapi tersebut. Itulah sebabnya umno sedang nazak sekarang.

4. Semasa meneliti isu-isu politik yang menjadi paparan akhbar sehari dua ini, saya teruja melihat satu gambar dan berita yang dipaparkan oleh akhbar The Star pada hari Jumaat, 10 Oktober 2008 yang lepas. The Star pada hari tersebut memaparkan sebuah rumah kampung yang mempunyai ciri-ciri tradisi lama dan berlatar belakang kawasan bendang yang menarik. Sayangnya rumah yang begitu menarik serta berlatarbelakangkan pandangan yang memukau tersebut telah terputus dua. Satu bahagian beserta tangga utamanya masih elok manakala sebahagian lagi telah lesap.

5. Setelah diamati ceritanya, barulah diketahui bahawa rumah tersebut telah dibahagi dua oleh satu pasangan suami isteri yang baru bercerai. Kisah ini berlaku di Kemboja. Pasangan suami isteri yang berpisah ini juga warga kemboja. Oleh kerana saya pernah mengunjungi pedalaman Kemboja sebelum ini, serta mengetahui sedikit sebanyak latar belakang kehidupan mereka, kisah ini berjaya mencuit perhatian saya.

6. Secara spontan saya rumuskan, inilah perceraian yang agung. Sukar untuk saya menakrifkan falsafah ini. Namun saya yakin kawan-kawan yang menatap gambar yang dipaparkan oleh the Star tersebut akan bersetuju dengan label ini.

7. Falsafahnya mudah sahaja. Apabila tidak sehaluan, berpisah sahajalah. Namun perpisahan tersebut mestilah adil. Hanya ada dua konsep yang dibenarkan dalam sebarang perpisahan iaitu win win situation atau lose lose situation. Dalam kes Cambodian ini, saya tidak tahu konsep yang mana satu mereka aplikasikan.

8. Kejadian ini berlaku dan dipaparkan sejurus selesai perjanjian perpisahan antara Pak Lah Badawi dan timbalannya Datuk Najib Razak. Pak Lah dan Najib akan berpisah secara rasmi menjelang Mac ini. Katanya semua terma berkaitan perpisahan ini telah dipersetujui oleh kedua-dua pasangan ini.

9. Seusai Pak Lah mengumumkan terma perpisahan tersebut, ada pula suara aneh daripada
sanak sadara (kem) Pak Lah yang mengatakan Datuk Najib mengkhianati persetujuan awal yang dicapai berkaitan perpisahan tersebut. Oleh kerana ingin mengelak perbalahan yang lebih teruk antara sanak saudara kedua-dua belah pihak, pak Lah terpaksa akur dengan perpisahan tersebut walaupun mengikut kerabatnya, beliau dikhianati dalam perjanjian ini.

10. Kalau benar cerita ini, saya boleh simpulkan perceraian antara Pak Lah dan Najib bukan lagi win win atau lose lose perpisahan. Perpisahan mereka juga bukan perceraian agung sebagaimana pasangan Kemboja tersebut. Saya sendiri pun tidak tahu apa nama yang sesuai untuk perceraian mereka. Jika sebelum ini saya pernah menasihati Nora Danish (http://puteragunungtebu.blogspot.com/2008/07/hari-ini-banyak-perkara-yang-ingin-aku.html) semasa dia bercerai, kali ini saya tidak bercadang untuk memberi apa-apa nasihat kepada perceraian Pak Lah dan Najib.

11. Cuma saya harap suami isteri dalam Pakatan Rakyat (PR) tidak bercerai dalam masa terdekat ini. Hari itu saya agak bimbang dengan kemungkinan ini. Namun mesyuarat Lujnah Politik Pas pada 6 Oktober 2008 lepas memberi harapan baru bahawa jodoh perkahwinan bermadu antara Pas, PKR dan DAP masih kuat.

No comments: