Tuesday, October 21, 2008

Shamsiah Fakeh: Perginya Pejuang Bangsa

Samsiah Fakeh atau nama sebenarnya Shamsiah Sutan telah meninggal dunia kemarin di rumah anaknya di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Beliau yang sebelum itu mendapat rawatan di Hospital Universiti kebangsaan Malaysia (HUKM) telah meninggal dunia akibat komplikasi sakit tua dan jangkitan paru-paru.

Allahyarhamah lebih dikenali sebagai komunis dalam buku sejarah yang dipelajari oleh anak-anak di sekolah, khususnya dalam sukatan pelajaran kebangsaan.

Sebenarnya silibus yang menyimpulkan Shamsiah Fakeh sebagai komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan ini telah lama mendarah daging dalam sukatan pelajaran kebangsaan.

Sebab itulah sebahagian besar rakyat yang telah melalui sistem pendidikan tersebut telah menyematkan secara kemas dalam minda mereka bahawa Shamsiah Fakeh adalah komunis.

Majoriti rakyat Malaysia yang mengikuti sistem persekolahan kebangsaan telah menerima fakta bahawa Shamsiah adalah salah seorang pemimpin Melayu dalam Parti Komunis Malaya (PKM).

Oleh kerana PKM adalah musuh negara, maka Shamsiah juga disimpulkan sebagai musuh negara yang kejam, zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Orang ramai sudah tidak rajin lagi untuk mencari sumber lain bagi mengenali lebih dekat siapa Shamsiah Fakeh yang sebenarnya.

Tidak dinafikan bahawa Shamsiah adalah salah seorang pemimpin Melayu dalam Rejimen ke 10 PKM.

Namun sebelum itu beliau adalah salah seorang pemimpin Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang memperjuangkan kemerdekaan negara daripada penjajahan asing.

Ramai pejuang yang telah bangkit dan menubuhkan gerakan untuk menentang kolonial asing, khususnya British pada zaman tersebut.

Matlamatnya hanya satu iaitu memerdekakan bangsa dan negara daripada penjajahan asing.

Shamsiah Fakeh adalah salah seorang wanita yang berjiwa tega.

Beliau menyertai ramai lagi pejuang bangsa yang lain antaranya Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestaman, Ishak Muhammad atau Pak Sako dan lain-lain.

Tujuan mereka hanya satu iaitu menentang penjajahan dan memerdekakan tanah air.

Sewaktu mereka berhempas pula memperjuangkan nasib bangsa, sebahagian pemimpin yang kononnya dianggap sebagai pejuang kemerdekaan negara dalam buku sejarah bekerja sebagai pegawai kerajaan penjajah.

Shamsiah Fakeh dan pemimpin-pemimpin pertubuhan kiri yang lain dianggap sebagai ancaman kepada kerajaan penjajah.

Akhirnya pertubuhan-pertubuhan yang bertekad memperjuangkan kemerdekaan tanah air tersebut diharamkan.

Antara yang diharamkan adalah Kesatuan Melayu Muda (KMM), Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang mana AWAS adalah salah satu sayapnya, dan beberapa pertubuhan kiri yang lain.

Sebahagian besar pemimpin pertubuhan ini ditangkap dan dipenjarakan oleh penjajah, termasuk Dr Burhanuddin Helmi.

Sebahagian besar terpaksa melarikan diri ke hutan untuk menyelamatkan diri.

Pelarian di hutan belantara sangat menyulitkan, ancaman tangkapan dan survival sangat menekan.

Akhirnya sebahagian pemimpin melayu ini menubuhkan Rejimen Ke 10 Parti Komunis Melayu yang berpusat di hutan negeri Pahang.

Tujuannya untuk menentang penjajah British.

Saya tidak mengatakan keputusan Shamsiah Fakeh dan kawan-kawan beliau menyertai komunis adalah langkah yang mulia.

Namun saya tegas untuk mengatakan bahawa penjajah Britishlah yang bertanggungjawab sehingga wujudnya Rejimen Ke 10 PKM yang dianggotai oleh pejuang-pejuang Melayu.

Mereka menjadikan Rejimen Ke 10 sebagai platform untuk menentang penjajah setelah semua pertubuhan lain diharamkan oleh kerajaan penjajah.

Akhirnya Tanah Melayu pun merdeka. Menurut Dr Burhanuddin Helmi sebagai merdeka yang tidak masak kerana asas perlembagaan negara masih berasaskan penjajahan, iaitu digubal oleh Suruhanjaya Reid.

Sebahagian pegawai yang berkhidmat dengan penjajah akhirnya dilantik sebagai pemimpin negara, dengan jolokan kononnya sebagai pejuang kemerdekaan negara.

Pejuang kemerdekaan yang masih ada dalam penjara terus dipenjarakan. Ada sebahagian yang mati dalam penjara.

Pejuang kemerdekaan sebenar yang masih di hutan terus diperangi, katanya kerana ancaman kepada keselamatan negara.

Alhamdulillah, rundingan damai dan perletakan senjata PKM menamatkan konflik tersebut.

Bolehlah sebahagian pejuang Melayu yang terpaksa menyertai Rejimen Ke 10 PKM hidup seperti orang lain pada usia tua mereka.

Sebahagian mereka telah meninggal dunia.

Sebahagian mereka masih hidup.

Kelmarin Shamsiah Fakeh pula kembali ke rahmatullah.

Saya banyak membaca dan mengkaji tentang perjuangan sebelum kemerdekaan, termasuk perjuangan Shamsiah Fakeh dan perjuangan golongan ulama' yang lain.

Saya tidak kisah apa yang orang lain hendak kata, namun bagi saya kematian Shamsiah Fakeh adalah 'perginya seorang pejuang bangsa'.

Semoga rohnya aman di sana.

No comments: