Saturday, October 4, 2008

TG Nik Aziz Berkaraoke & Berdangdut?

Sekian lama saya tidak mencoretkan bicara pada laman yang tidak sebeberapa ini.

Bukan tidak kelapangan, tetapi ada sebab lain yang menghantui percaturan.

InsyaAllah selepas ini saya akan melazimi semula rutin yang tertangguh itu.

Selamat hari Raya

Hari ini masuk hari kelima umat Islam di Malaysia menyambut hari lebaran.

Saya ucapkan selamat hari raya kepada semua. Andai tersalah bicara, maafkanlah saja hamba. Kemaafan adalah dendam terindah.

Pertukaran Kerajaan BN kepada PR

Kawan-kawan sering mengajukan soalan tentang peralihan kuasa kerajaan persekutuan daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat.

Secara konsisten, saya ulangi lagi bahawa peralihan tersebut akan berlaku.

Hindraf

Hari ini banyak pihak mendesak tindakan tegas dikenakan kepada Hindraf kerana menceroboh rumah terbuka Perdana Menteri.

Bagi saya senang saja, kekerasan jangan dibalas dengan kekerasan. Kerana sejarah telah membuktikan kekerasan tidak pernah menang menentang kekerasan.

Pun bagi saya, apalah salahnya Hindraf mengunjungi rumah terbuka PM.

Sambil makan juadah yang dihidangkan, diaorang hanya bagi memorandum supaya bebaskan tahanan ISA dan hapuskan ISA.

Perjuangan supaya bebaskan tahanan ISA dan hapuskan ISA bukan perjuangan Hindraf berseorangan. Itu sudah jadi aspirasi majoriti rakyat Malaysia.

Bagi saya Hindraf bukan musuh Melayu dan Islam. Sebaliknya Hindraf memusuhi PM dan seluruh anggota kerajaan BN.

Bagi saya, persetankan saja. Buat apa bersusah payah mempertahankan mereka daripada serangan Hindraf.

Pas Terengganu

Mutakhir, Pas ada sedikit masalah dalaman.

Saya mempunyai bukti yang empirikal untuk mengesahkan perkara ini.

Namun atas dasar berjemaah, biarlah perkara ini terpendam jauh di lubuk hati.

Saya bersetuju atas semua pandangan untuk mengukuhkan halatuju dan gerak tari perjuangan Pas.

Namun saya kurang bersetuju apabila taktikal dan strategi yang dirangka oleh pemimpin-pemimpin Pas Terengganu begitu diagung-agungkan oleh pendokong Pas.

Lebih hairan, kawan-kawan daripada negeri yang menang dalam PRU 12 yang lepas pun turut terpengaruh dengan permainan politik pemimpin Pas Terengganu.

Saya sendiri orang Terengganu.

Saya masih terlibat secara langsung dengan salah satu kawasan pilihanraya di Terengganu.

Kawan baik saya yang sama mak dan sama ayah adalah salah seorang calon Pas Terengganu dalam PRU 12 yang lepas.

Sekian lama, termasuk dalam kempen PRU 12 yang lepas, saya berpendirian bahawa pendekatan politik Pas Terengganu tidak strategik.

Bagi saya senang, politik adalah persepsi. Untuk mendapat sokongan dan meraih kredit politik, persepsi masyarakat terhadap Pas perlu dielokkan.

Bukan sekadar persepsi daripada orang Pas, tapi seluruh masyarakat tanpa mengira agama, bangsa, jantina, SES status, pendidikan, sosial dan lain-lain.

Prinsipnya mudah, semua orang hanya boleh memberi satu undi.

Orang Islam dan bukan Islam, semua satu undi.

Orang kaya dan orang miskin, juga masing-masing satu undi.

Orang segak dengan orang capik, juga satu undi.

Orang sihat dengan orang sakit, masing-masing satu undi.

Bagi mendapat sokongan majoriti dan diterima secara menyeluruh Pas mesti mengambil kira semua komponen masyarakat yang ada.

Pas tidak boleh menang dengan hanya undi orang Pas sahaja.

Inilah yang tidak dilakukan oleh Pas Terengganu.

PKR Terengganu lumpuh dan tenat 'diganyang' oleh Pas.

Sepatutnya PKR dijadikan alat dan batu loncatan oleh Pas untuk memenangi pilihanraya.

Kerana ramai orang Umno yang yang dah benci dan mual dengan Umno/BN, tapi mereka sukar untuk menyertai Pas.

Maka PKR mesti dihidupkan untuk menyediakan platform bagi mereka menentang Umno/BN.

Pas mesti menolong PKR bernafas, supaya mereka boleh mainkan peranan yang tidak boleh kita mainkan dengan label Pas.

Tapi Pas Terengganu tidak bertindak begitu.

Pas Terengganu sentiasa melihat PKR sebagai ancaman, bukan peluang.

Akhirnya, orang-orang yang sebelum ini sokong PKR kembali sokong Umno/BN.

Akibatnya, ketika negeri-negeri lain begitu gah meraih kemenangan, Pas Terengganu ditolak oleh rakyat yang majoritinya Melayu dan Islam.

Kalau dah orang Melayu dan Islam sendiri menolak Pas, apa lagi yang Pas Terengganu hendak banggakan.

Ketika negeri lain yang Pasnya tidak begitu kuat seperti Johor, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan dan lain-lain boleh menang, kenapa Pas Terengganu tersungkur penuh keaiban?

Jawapannya mudah, strategi politik Pas Terengganu tidak menjadi.

Saya berautoriti untuk mengatakan hakikat ini kerana saya orang Terengganu dan terlibat dengan jentera Pas Terengganu.

Tak tahulah pulak kalau ada kawan-kawan daripada negeri lain yang lebih faham tentang negeri Terengganu berbanding saya, lalu ingin menentang pandangan saya.

Selain itu Pas Terengganu juga sentiasa memusuhi dan meletak prasangka yang sangat tinggi kepada Anwar Ibrahim.

Sedangkan pada masa sekarang dan dalam PRU 12 lepas, massa/rakyat umum begitu menerima dan mengagumkan Anwar.

Pas Terengganu tidak bijak memanfaatkan peluang ini untuk mendapat sokongan dan kepercayaan masyarakat.

Akhirnya mereka tewas teruk dalam PRU 12 yang lepas.

Dalam gerakan Islam, apa sahaja strategi yang syarie boleh digunakan untuk mencapai matlamat perjuangan.

Apa yang tidak syarienya mempergunakan Anwar untuk Pas menang di Terengganu?

Seharusnya kita bijak mengatur strategi dan memanfaatkan peluang yang ada untuk menang.

Semua orang tahu bahawa Anwar bekasan Umno.

Semua orang tahu bahawa Anwar begitu licik politiknya.

Semua orang tahu bahawa Anwar ada agenda politik beliau.

Tetapi tidak salah menjadikan Anwar sebagai satu peluang dan aset untuk kita menang pilihanraya, khususnya untuk Pas Terengganu.


Puak Erdogan

Paling saya bimbang, sebahagian pemimpin Pas Terengganu ingin menjadi juara merangka strategi untuk politik Malaysia.

Lalu keluarlah daripada mereka analisis, strategi, percaturan dan sebagainya berkaitan halatuju politik Malaysia.

Analisis saya senang saja, belum puaskah kamu memburukkan wajah Pas pada pandangan rakyat Terengganu, hingga kamu ingin pula memburukkan wajah Pas pada pandangan rakyat Malaysia pula?

Malangnya, strategi ini ditelan juga oleh pimpinan dan penggerak Pas di negeri lain, khususnya negeri yang memenangi PRU 12 baru-baru ini.

Nasihat saya mudah, untuk kawan-kawan di luar sana sama ada Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak dan lain-lain, teruslah dengan cara berpolitik kalian.

Sekurang-kurangnya sedikit sebanyak kalian telah diterima oleh rakyat kalian dan berjaya memenangi PRU 12 yang lepas.

Usahlah kalian terpengaruh dengan taktikal 'serang', 'haram', 'pulau', 'labeling' yang dimomokkan oleh pemimpin Pas Terengganu.

Kerana terbukti strategi tersebut langsung tidak efektif dewasa ini.

Kerana pemimpin Pas Terengganulah, lahir istilah puak Erdogan dalam Pas.

Siapa yang memulakan istilah tersebut bukan lagi rahsia.

Siapa si Suhaimi yang berselindung di sebalik nama anti Husam jugak bukan lagi rahsia, semuanya adalah virus pemikiran Pas Terengganu.

Akhirnya strategi serang, haram, pulau, labeling yang menjadi mainan Pas Terengganu telah meresap kepada penyokong dan ahli Pas seluruh negara, yang akhirnya hampir memusnahkan jemaah.

Alangkah bahananya strategi pemimpin Pas Terengganu.

Ada yang kata, pemimpin Pas Terengganu bercakap berasaskan ilham, kerana tatkala kita lena diulit mimpi mereka berlazatan di atas sejadah bermunajat kepada Allah.

Ingin saya tegaskan, cara berfikir dan kaedah mengatur strategi pemimpin Pas Terengganu jauh berbeza dengan Tok Guru Nik Aziz, Mursyidul Am Pas merangkap Menteri Besar Kelantan.

Lalu ingin aku bertanya, tatkala pemimpin Pas Terengganu sedang berlazatan di atas sejadah bermunajat kepada Allah, adakah Tok Guru Nik Aziz sedang berkaraoke dan bergelek di kelab malam?

1 comment:

Dr. RBAONG said...

Bile dah rasa nak berkuasa (belum dapat kuasa penuh lagi), mulalah bercakaran.

betul kata orang, nak nilai peribadi seseorang, beri dia sedikit kuasa, maka terserlah yang selama ini terpemdam.

Sama je, ahli politik tetap akan berpolitik. PAS ke UMNO ke, PKR ke, semua sekapal.