Sunday, November 2, 2008

Kenangan

Saya bergraduat untuk ijazah bachelor dalam salah satu cabang sains iaitu fizik.

Begitu juga ijazah master yang saya genggam, namanya master sains walaupun tumpuan adalah kepada bidang pendidikan.

Walaupun pengajian saya lebih kepada bidang sains, namun jiwa saya sangat dekat dengan sastera.

Sebahagian besar karya sastera yang tersohor telah saya baca.

Bukan sekadar baca, namun menghayati dengan penuh jiwa raga.

Kadang-kadang bila membaca karya-karya yang bagus itu, saya tenggelam dalam fantasi penyair tersebut.

Dalam banyak-banyak karya, saya lebih terkesan kepada omongan tentang kehidupan yang dekat dengan dunia saya.

Dunia saya adalah belantara, sawah, sungai, lembu, kemiskinan dan kehidupan yang daif.

Sebab itulah coretan Fatimah Busu, Shahnon Ahmad dan Baharuddin Kahar sangat melekat dengan jiwa saya.

Anak-anak Pasir Pekan, Ombak Bukan Biru, Ranjau Sepanjang Jalan dan Senjakala adalah karya mereka yang berjaya mencuit dan melekat dalam kalbu saya.

Namun itu tidak bermaksud saya tidak menghayati coretan penyair lain.

Saya juga menjiwai secara dekat Salina oleh A Samad Said, Warisan oleh Abd Talib Hassan, Di Bawah Lembayung Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Vandervich oleh Hamka, dan lain-lain lagi.

Saya juga sangat berminat menelusuri memoir-memoir tanpa mengira latar belakang mereka sama ada pejuang kemerdekaan kiri, pejuang kemerdekaan kanan, ahli politik dunia, ahli perniagaan, ahli sukan, hatta seorang pelacur sekalipun.

Saya sebenarnya sudah khatam Memoir of A Geisya, yang bagi saya pemilik kisah itu sebenarnya adalah seorang pelacur terhormat, walaupun dunia melihat dia sebagai wanita pelayan. Saya mempunyai alasan yang kukuh untuk justifikasi ini.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya lebih dekat kepada karya sastera yang berkaitan belantara, sungai, kampung, sawah, kemiskinan dan kesusahan berbanding dengan karya lain.

Walaupun saya kadang-kadang berkhayal menjadi Arkus dalam siri fiksyen Ahmad Patria Abdullah seperti Petua Azkram, Pedang Aurora dan lain-lain, namun kisah kehidupan di desa pedalaman lebih meninggalkan kesan kepada jiwa saya.

Mungkin kerana kesusahan, keperitan dan kepayahan yang saya tempuhi sepanjang usia kecil menjadikan saya begitu sensitif dan terkesan kepada sastera dalam area itu.

Kehidupan saya semasa kecil sangat memeritkan.

Dahulu saya tidak pernah memikirkan keperitan itu kerana pada anggapan saya semua orang mengalami laluan seperti itu.

Namun apabila saya mula keluar daripada desa tercinta itu, barulah saya menyedari bahawa saya telah melalui satu kehidupan yang sangat menyulitkan.

Kami ramai adik beradik, empat belas orang semuanya.

Yang sulong mati semasa usianya seminggu, jadi tinggalah tiga belas orang.

Separuh daripada jumlah tersebut betul-betul dibesarkan di tepi hutan dan sawah.

Setiap kali melahirkan anak-anak, emak hanya berpatang selama empat puluh hari.

Masuk hari keempat puluh satu dan seterusnya, emak sudah turun ke padang dan sawah.

Bayi kecil itu (termasuk aku) turut sama di bawa ke padang dan sawah.

Semasa kami bayi, buaian untuk menidurkan kami dibuat daripada kain batik lusuh yang diikat dengan tali lembu. Tali lembu itu kemudiannya disangkut pada tahan tembesu, jambu butir banyak, jambu golok dan lain-lain pokok.

Anak-anak yang dah besar sikit kena jaga adik-adik yang kecil, sementara emak dan ayah bercucuk tanam, bersawah dan lain-lain.

Saya katakan anak-anak yang besar sikit kena jaga adik-adik sebab anak-anak lain yang besar sikit daripada 'yang besar sikit' kena buat kerja, tolong ayah dan emak.

Kalau tak, tak menang tangan emak dan ayah nak buat kerja bersendirian kerana keluarga kami adalah petani tradisional, hanya bertemankan cangkul, takde pun mesin-mesin canggih untuk membantu.

Secara jujurnya, hanya takdir tuhan sahaja yang masih memanjangkan umur saya.

Jika takdir tuhan sebaliknya, dah lama saya mati.

Saya pernah terjatuh dalam telaga yang berair, tenggelam timbul keseorangan.

Masa tu saya kecil lagi, baru pandai berjalan.

Abang Chik (sekarang dah jadi doktor) yang bertugas jaga saya.

Entah apa cuainya, saya berjalan atau merangkak sebenarnya ke dalam telaga yang kami guna untuk siram tanaman.

Abang Chik sedar, tapi dia tak boleh buat apa-apa.

Dia sendiri pun sangat kecil untuk diamanahkan menjaga saya, usianya hanya dua tahun lebih tua.

Entah macam mana, emak tergerak hati untuk melaung bertanya kepada Abang Chik,

"Adik mana!!!!?"

Dengan selamba Abang Chik jawab,

"Tak dok!!!"

Emak tanya lagi,

"Tak dok, gi mana!!!?"

Lalu dengan selamba seorang budak kecil yang tidak mengerti apa-apa Abang Chik jawab,

"Jatuh telaga!!!"

Barulah emak bergegas, meraba dalam telaga, dan terjumpalah aku yang dah kekenyangan minum air berperisa lumpur itu.

Itu salah satu kisah yang hampir meragut nyawa saya. Sebenarnya banyak lagi.

No comments: