Monday, November 3, 2008

Kisah Waktu Kecil

Sampai sekarang pun, kawan dan kenalan masih mengatakan saya seorang yang kasar bahasa dan perilaku.

Tanggapan ini sudah lama melekat pada saya, semenjak bangku persekolahan lagi.

Banyak juga saya hadapi masalah disebabkan pembawaan ini.

Walaupun saya berstatus ketua murid dan tokoh murid semasa di sekolah rendah, namun saya tidak pernah sunyi daripada pergaduhan dengan kawan-kawan.

Semuanya disebabkan sikap keras dan kasar saya.

Pada waktu itu, susah untuk saya mengalah dengan orang lain.

Pantang dicabar saya akan sahut. Berapa sahaja harga orang jual, saya bayar cash.

Sikap semasa sekolah rendah terus saya bawa ke sekolah menengah.

Semasa tingkatan tiga, saya pernah pukul senior tingkatan lima akibat tindakan dia yang menyakiti hati saya.

Kejadian itu berlaku di asrama.

Padahal pada waktu itu saya pengawas sekolah, ketua tingkatan, imam di surau asrama dan pelajar harapan sekolah.

Walaupun begitu, saya berjaya juga menunaikan harapan guru-guru dan warga sekolah.

Sekolah itu ditubuhkan pada tahun 1942.

Semenjak Sijil Rendah Pelajaran (SRP) diperkenalkan, tidak pernah ada pelajar sekolah itu yang mendapat lima agregat. Lima adalah pengiraan agregat yang tertinggi dalam pentaksiran SRP.

Pada tahun itu saya berjaya mencapainya. Saya dapat lima agregat dengan memperolehi 7 A1. Hanya Bahasa Inggeris saya tak dapat A.

Masuk tingkatan empat, saya bertukar sekolah lain.

Sekolah berasrama penuh berstatus agama di bawah kelolaan kerajaan negeri.

Banyak jawatan saya pegang selama dua tahun di sekolah tersebut.

Antara yang saya ingat seperti presiden persatuan sains & matematik, pengawas sekolah, exco tertinggi badan agama Islam dan lain-lain.

Namun pembawaan saya yang kasar dan keras masih lagi membawa masalah, khususnya dengan kumpulan pelajar yang bermasalah disiplin.

Pada satu malam, saya mendapat maklumat sekumpulan pelajar yang dianggap geng 'meggang' sekolah akan belasah saya.

Sebelum ini mereka telah banyak kali belasah pelajar yang dianggap mengganggu mereka.

Modus operandinya sama, heret daripada katil pada waktu dinihari dan belasah belakang asrama.

Kawan saya memberitahu modus yang sama akan dilakukan pada saya.

Tanpa rasa takut, malam itu saya tidur sambil memeluk sebatang besi bunga yang pejal, solid dan tumpat.

Saya sangat yakin, jika batang besi tersebut singgah di kepala dengan kekuatan yang cukup, sekurang-kurangnya tengkorak kepala akan remuk dan hancur.

Mengenangkan itu, saya pun tidur dengan lena.

Peliknya, malam itu tiada apa-apa yang berlaku.

Biasanya apabila kumpulan pelajar tersebut berazam, pasti mereka buat.

Sampai sekarang saya tidak tahu kenapa mereka tidak teruskan niat.

Saya pun tidak pasti entah-entah mereka dah pergi ke katil saya malam tersebut. Tapi bila melihat 'bantal' yang saya peluk dengan kemas pada malam itu, mereka batalkan niat. Mungkin mereka rasa tidak berbaloi untuk meninggal dunia hanya kerana ingin membelasah seorang pengawas sekolah.

Tamat persekolahan menengah, saya memasuki program matrikulasi, seterusnya ke pengajian peringkat sarjana muda di sebuah universiti di utara Tanah Melayu.

Sekali lagi saya terlupa untuk membuang atau meninggalkan sikap keras dan kasar saya.

Sikap itu sedikit sebanyak saya bawa ke dalam organisasi pelajar di kampus.

Di kampus, saya dipilih sebagai presiden persatuan mahasiswa Islam, atau ringkasnya PMI.

Dengan sikap tersebut, beberapa kali saya memimpin pelajar berdemonstrasi menyatakan rasa tidak puas hati kepada pentadbir universiti dan pihak berkuasa.

Beberapa kali saya dihadapkan ke mahkamah universiti kerana sikap keras saya terhadap beberapa dasar universiti yang pada anggapan saya tidak menepati nilai Islam dan keadilan, khususnya untuk kebajikan mahasiswa.

Pengarah keselamatan pernah memanggil saya beberapa kali akibat penentangan saya terhadap beberapa dasar universiti dan isu politik negara.

Selama beberapa jam, dalam beberapa siri beliau toucher, ugut dan phywar saya supaya tidak meneruskan pendirian saya itu.

Sayangnya, beliau tersalah tanggap. Sikap keras dan tegas yang mendarah daging dalam diri saya membuatkan semua ugutan dan tekanan tersebut, termasuk untuk singkirkan saya daripada universiti tidak terkesan sedikit pun.

Walaupun dengan pelbagai pancaroba, saya akhirnya berjaya bergraduat untuk ijazah sarjana muda tersebut.

Saya kemudiannya berjaya pula bergraduat untuk ijazah sarjana di sebuah universiti lain. Sebuah universiti di pinggir kota metropolitan Putrajaya.

Memasuki alam pekerjaan, penyakit keras dan kasar itu masih saya bawa.

Di dunia pekerjaan inilah, baru saya menyedari bahawa saya mempunyai penyakit keras dan kasar.

Sebenarnya isteri tercinta yang banyak menyedarkan diri saya.

Isteri saya adalah bekas exco kebajikan semasa kami berorganisasi di kampus dahulu.

Katanya, dulu dia sangat takut kepada saya kerana saya presiden yang garang. Dalam bahasa kami dipanggil bekeng.

Entah apa takdirnya, hendak pula dia kepada saya yang garang ni.

Entah sama ada disengajakan atau tidak, isterilah yang banyak menyedarkan saya bahawa saya mempunyai penyakit kasar dan keras.

Bermula itulah saya mula berfikir dan mengawal diri.

Saya mencari punca kenapa saya jadi begitu.

Akhirnya saya mendapat jawapannya, kehidupan saya semasa kecil banyak mencorak perlakuan saya.

Emak ayah tidak memanjakan kami seperti anak-anak orang lain. Semua kami terpaksa membantu kerja emak ayah di padang dan bendang.

Dalam usia yang sangat kecil, banyak tanggungjawab terpaksa kami bereskan. Jaga lembu, siram sayur, tanam tembakau dan lain-lain adalah kerja rutin kami.

Pada waktu itu rumah kami tiada elektrik.

Bekalan air menggunakan telaga yang sangat dalam di luar rumah.

Secara jujur, semasa darjah satu dan dua, ketinggian saya tidak melepasi pun ketinggian tubir (dalam bahasa kami disebut kerek) telaga.

Sebelum subuh, saya dah kena bangun mandi untuk ke sekolah.

Untuk dapatkan air daripada telaga menggunakan timba, saya kena lapikkan kayu tepi telaga.

Berbirat dada saya bergesel dengan simen kerek untuk mendapatkan setimba air untuk mandi disubuh hari.

Sebenarnya tak cukup pun setimba setiap kali dikarai, sebahagian besar air jatuh semula ke dalam telaga akibat geseran dengan kerek konkrit.

Saya kena mandi awal, sebab saya kena berjalan kaki ke sekolah.

Sepanjang enam tahun di sekolah rendah, saya lebih banyak berjalan berbanding naik basikal.

Saya pun tak pasti jaraknya, mungkin sekitar tiga batu.

Saya kena turun awal, supaya sempat sampai di sekolah pada waktu yang sepatutnya.

Tanah masih gelap ketika saya mulakan langkah ke sekolah.

Banyak kali saya terserempak dengan babi di jalanan.

Kadang-kadang baju basah kuyup dek embun yang masih melekat di pucuk lalang.

Paling sayu, apabila kawan-kawan yang berbasikal melintasi kita di jalanan.

Begitulah juga waktu balik, terpaksa menempuhi perit mentari, menapak dengan kaki dan langkah kecil ke rumah.

Kadang-kadang bukan ke rumah, sebaliknya terus ke ladang. Sebab emak dan ayah tidak balik waktu tengah hari.

Walaupun letih dan penat, bila sampai kat rumah tidak boleh terus makan.

Tidak ada apa-apa lagi yang boleh dimakan.

Sebab emak baru saja berhenti kerja menjelang waktu zohor.

Jadi belum sempat masak apa-apa lagi.

Terpaksalah tunggu, dalam kelaparan dan kepenatan.

Hanya air telaga yang diteguk secara fresh dalam timba mengubat sedikit dahaga.

Saya tidak pernah menyalahkan emak dan ayah terhadap keperitan ini.

Kesempitan hidup membuatkan kami jadi begini.

Kasih emak dan ayah terhadap kami semua menggunung tinggi.

Masih terbayang di mata, emak dengan perut berbuyong mengandung sembilan bulan mengesot-esot di celah rong (batas) menanam ubi dan tembakau.

Tabahnya hatimu emak, tekadnya jiwamu.

Dengan jasa emak dan ayah, sebahagian kami berjaya ke menara gading.

Namun keperitan, perjuangan dan survival itu menjadikan saya seorang yang keras dan kasar.

Secara jujur, susah untuk saya takut dan gerun kepada orang lain.

Dalam usia kanak-kanak, saya biasa bermalam di sungai seorang diri.

Dalam usia kanak-kanak, saya biasa mengharungi sungai yang hitam pekat airnya seorang diri.

Dalam usia kanak-kanak, saya biasa menguruskan 30 ekor lembu seorang diri.

Dalam usia kanak-kanak, saya biasa kelaparan tanpa makanan.

Lalu, apa lagi ketakutan dan kegerunan yang tinggal dalam diri saya.

Ini salah satu faktor kenapa saya jadi kasar dan keras apabila dewasa.

Derita dan keperitan membentuk jiwa saya begitu.

Sekarang saya semakin sedar, dan berusaha mengawal diri.

Alhamdulillah, ada kemajuannya.

Tetapi kadang kala ada juga kenalan yang tidak mengenali asal usul saya cuba mencetus kembali bara yang terpadam dalam dada.

InsyaAllah saya akan bersabar selagi termampu.

Selebihnya saya tidak jamin.

Apa-apa pun, percayalah bahawa keperitan hidup akan mempengaruhi tingkah laku anak-anak.

Sebab itu, perhatikanlah sekeliling kita.

Kalau ada orang yang mengalir air mata kesusahan tatkala kita bergelak ketawa kesenangan, bantulah mereka. Khususnya untuk anak-anak mereka.

Kalau ada orang yang teresak sedu dalam kelaparan tatkala kita tersedu ketawa kekenyangan, bantulah mereka. Kerana kelaparan sangat memeritkan wahai sahabat.

Ketika anak-anak kita yang kecil dan munggil itu bergelak ketawa, perhatikanlah juga anak-anak yatim yang tiada berayah atau beribu. Berdosa kita membiarkan mereka kelaparan dan ketandusan kasih sayang.

Terima kasih sahabat kerana sudi membaca coretan ku ini.

2 comments:

jamilah abd.rahman said...

yusri, semangat tuan jangan sekali dilunturkan. Baru kali ini saya ada peluang untuk berkomunikasi dengan tuan, itupun ada adik yang berorganisasi dengan tuan sebutkan blog ini. kisah hidup tuan lebih kurang dengan hidup saya sekeluarga. tapi itulah natijahnya yang menjadikan kita orang yang sangat kuat semangat dan tidak tahu apa erti putus asa. bezanya saya seorang perempuan yang selalu berjuang dengan doa-doa dan kata2 baik untuk yang di langit mahupun di bumi.kita pernah ber SMS kerana tuan dengan semngat jugalah membawa korban kami ke kemboja lewat tahun lalu.selamat berkomunikasi dan saya tinggal di kuala lumpur. nampaknya blog tuan akan saya kunjungi dan kalau ada masa sudilah tuan kunjung ke blog saya. saya akan emailkan nanti. TQ
saya berkeluarga punyai 5 orang anak dan suami bekerja di Putra jaya.

naimah27 said...

subhanaLlah, sungguh, kenangan sememangnya mengajar kita mengenal erti kehidupan & berusaha memperbaikinya. terima kasih, sudi berkongsi pengalaman diri anda.