Monday, November 10, 2008

Perubahan Kepemimpinan Pas Terengganu

Pas Terengganu baru saja usai melaksanakan dua program tahunan yang utama iaitu Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) dan Ijtima' Kepimpinan Pas Terengganu.

Himpit yang dianjurkan oleh Dewan pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT) dianggap berjaya apabila ramai pemuda Pas menyertai program yang diadakan di pantai Cendering tersebut.

Ijtima' Kepimpinan juga dianggap berjaya apabila ribuan pemimpin Pas daripada semua peringkat sama ada cawangan, Dun, kawasan dan negeri memenuhi dewan utama Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Saya mengatakan kedua-dua program itu berjaya berasaskan pandangan dan rumusan yang dibuat oleh beberapa pimpinan utama DPPNT dan pimpinan Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu (BPPNT).

Sejauh mana mereka membuat pengukuran (measurement) untuk membuat rumusan tersebut, saya tidak pasti.

Apa yang saya pasti ialah saban tahun DPPNT dan BPPNT akan menganjurkan Himpit dan Ijtima' Kepimpinan.

Himpit dan Ijtima' Kepemimpinan pasca 1999 lebih selesa dan berprestij kerana penganjurannya disokong dengan prasarana bertaraf sebuah kerajaan.

Kalau sebelum itu hanya khemah-khemah buruk yang digunakan, namun pasca 1999 khemah majlis perbandaran dan majlis daerah yang digunakan.

Begitu juga prasarana lain, sebahagian besarnya berstatus prasarana kerajaan. Khemah hanyalah satu contoh yang mudah.

Himpit dan Ijtima' Kepimpinan tersebut dianggap berjaya dengan penyertaan ribuan penyokong, ahli dan pimpinan Pas semua peringkat.

Buah daripada kejayaan tersebut ialah Pas hilang kerajaan Terengganu dalam PRU 11 pada tahun 2004. Lebih mengejutkan, Pas hanya tinggal empat kerusi DUN berbanding 28 yang dimiliki sebelumnya. Kerusi Parlimen semua hilang, termasuk kerusi Marang yang sebelumnya milik Tuan Guru Datuk Presiden.

Pasca 2004, Himpit dan Ijtima' Kepimpinan terus menjadi acara rutin tahun berganti tahun.

Seperti biasa, dua acara tersebut dianggap berjaya dengan penyertaan ribuan ahli dan penyokong Pas semua peringkat.

Buah daripada kejayaan dua program itu ialah Pas Terengganu tewas lagi dalam PRU 12 pada bulan Mac yang lalu.

Lebih mengejutkan, kekalahan di Terengganu yang dianggap negeri kedua kubu kuat Pas selepas Kelantan itu berlaku ketika Barisan Nasional (BN)hilang majoriti dua pertiga di peringkat federal dan kalah di lima buah negeri lain, termasuk kelantan yang gagal dirampas semula.

Begitulah senarionya.

Saya meneliti dan menganalisis secara dekat kedua-dua program yang disebut tadi, khususnya Ijtima' Kepimpinan.

Banyak perkara positif diutarakan, khususnya target dan plan kerja yang diletakkan oleh pesuruhjaya dan presiden.

Namun saya agak pesimis untuk mengatakan kedua-dua program tersebut akan menjadi starting point yang bermakna untuk membolehkan Pas Terengganu memacu perubahan sehingga boleh menawan Terengganu dalam PRU 13 akan datang.

Saya berberat sangka untuk mengatakan bahawa Himpit dan Ijtima' Kepimpinan tahun ini hanya akan menjadi kronologi dan penerusan yang sama seperti tahun-tahun sudah, impaknya tidak ke mana.

Atas faktor itulah saya tidak teruja apabila dikatakan Himpit dan Ijtima Kepimpinan Pas Terengganu pada tahun ini berjaya.

Ramai yang akan marah dan menyalak-nyalak kepada saya akibat daripada argument ini. Saya tidak kisah, saya tidak ada kepentingan peribadi untuk memungkinkan saya play safe dalam isu ini. Hanya kasih dan cinta yang mendalam terhadap perjuangan yang menjadi tunggak pemikiran dan tindakan saya.

Ringkasnya, walaupun banyak perkara positif dihasilkan daripada Himpit dan Ijtima' Kepimpinan Pas Terengganu, namun saya tidak begitu teruja.

Saya hanya teruja apabila timbul riak yang mengatakan kepemimpinan Pas Terengganu akan berubah selepas ini.

Katanya, barisan kepemimpinan yang sedia ada sudah terlalu lama dan tidak begitu relevan dengan environment politik semasa.

Rumus ini timbul apabila pesuruhjaya, Cikgu Pa sendiri mengakui bahawa beliau tidak akan bertanding lagi selepas ini.

Perkara ini dianalisis panjang lebar oleh Saudara Zulkifli Sulong dalam Siasah yang terbaru.

Saya sangat gembira dengan perkembangan ini.

Ini tidak bermakna saya menolak sepenuhnya dan tidak mengenang jasa perjuangan pemimpin Pas Terengganu.

Bertahun-tahun saya melazimi Tuan Guru Presiden di Masjid Rusila, menadah mutiara ilmu daripada beliau. Sehingga sekarang saya lebih selesa untuk memetik ulasan beliau dalam Tafsir Tibyan untuk dijadikan isi ucapan saya apabila kandungan ucapan tersebut ingin dikaitkan dengan wahyu Ilahi.

Saya mengkaji dan mengenali secara dekat latar belakang dan sejarah perjuangan tokoh-tokoh Pas Terengganu sama ada Ustaz Harun Taib, Cikgu Pa, Mutalib Embong, Wahid Endut, Ustaz Bakar Cik, Ustaz Husin, Cikgu Husin dan ramai lagi.

Jasa dan pengorbanan mereka terhadap perjuangan Pas tidak ternilai harganya. Allah pasti membalas segala jasa dan pengorbanan mereka dengan anugerah yang tidak terjangkau dengan minda kita semua.

Namun untuk mutakhir ini, Pas Terengganu memerlukan idea dan kepemimpinan yang lebih segar dan malar, supaya mudah diterima oleh rakyat keseluruhan.

Sebab itulah saya sangat teruja apabila timbul riak yang mengatakan Pas Terengganu akan mengalami perubahan kepemimpinan secara menyeluruh.

Namun ingin saya tekankan, perubahan ini tidak boleh disandarkan kepada faktor usia semata-mata.

Perubahan ini perlu juga disandarkan kepada gagasan idea, strategi dan pendekatan.

Maksud saya, pemimpin muda yang ada dalam Pas Terengganu hari ini juga tidak begitu sesuai untuk mengangotai kepemimpinan baru nanti jika pemikiran mereka sama dengan pemikiran kepemimpinan sedia ada.

Perubahan yang dimaksudkan tidak boleh disandarkan kepada usia semata-mata, sebaliknya cara berfikir, strategi dan pembawaan perlu menjadi faktor dominan.

Semoga idea itu menjadi realiti dalam masa terdekat, khususnya menjelang PRU 13.

No comments: