Saturday, November 1, 2008

Winter Pantai Timur

Ada sahabat yang akan ke oversea beberapa hari.

Beberapa sahabat lagi akan turut serta dalam masa terdekat.

Ramai juga yang telah dan sedang berada di bumi asing.

Sebahagian mereka berada di Europe, USA, Japan dan South Africa.

Sebahagian mereka adalah junior semasa berkampung di bumi Minden.

Bukan sekadar junior, tetapi junior yang telah berbai'ah untuk menghambakan seluruh kehidupan untuk Allah dan Rasul.

Tidak terkata betapa gembiranya hati mengikuti perkembangan sahabat-sahabat, khususnya adik-adik tersayang yang berada di seantero dunia mencari ilmu, yang kemudiannya akan kembali ke tanah tumpah darah untuk berbakti kepada agama, nusa dan bangsa.

Untuk sahabat dan adik-adik tersayang, doaku mengiringi kalian agar tetap pendirian di bumi orang, dan sentiasa berada di bawah naungan rahmah dan perlindungan Allah.

Ingatlah, di mana sahaja bumi di pijak dan langit dijunjung, iman hendaklah sentiasa disuburmekarkan.

Selagi aqidah dan akhlak Islam bertunjang kemas dalam dada, InsyaAllah kita akan selamat di dunia dan akhirat.

Winter

Saya terlupa untuk menyemak pusingan musim di eropah, namun sahabat-sahabat di sana mengatakan winter coming soon.

Sebab itulah ada yang berpesan kepada yang akan berangkat supaya menyediakan pakaian musim sejuk secukupnya.

Dalam hal itu saya tak boleh campur, kerana saya sendiri tak pernah mengalami winter di negara asing.

Saya sendiri pun tidak begitu pasti, betulkah sekarang ini akan memasuki winter. Dah lama pun meninggalkan subjek geografi. Subjek geofizik tak de pula cerita tentang winter, sonata, sakura dan sebagainya.

Winter Pantai Timur

Yang saya pasti hanyalah 'winter' yang akan melanda Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu dalam masa terdekat.

Dalam buku geografi 'winter' ini disebut Monsun Timur Laut (bukan monsoon cup).

Dalam media masa yang umum 'winter' ini disebut musim tengkujuh.

Ada juga yang memanggil musim banjir.

Namun kami anak-anak desa pantai timur yang tulen memanggil 'winter' ini sebagai musim boh.

Walau apapun namanya, winter pantai timur itu akan datang dalam masa beberapa ketika lagi.

Malam tadi hujan sudah mula turun mencurah-curah.

Awan hitam yang berat seakan membungkus seluruh alam.

Malam menjadi dingin dan hitam pekat.

Apabila saya bangun dinihari tadi, terasa bayu timur laut yang sedang menghembus.

Entah kalian percaya atau tidak, saya sebenarnya boleh menghidu bau monsun tersebut.

Bau tersebut telah sebati dan melekat kukuh dalam jiwa saya.

Kerana saya adalah anak jati desa yang dilahir dan dibesarkan di pinggir belantara.

Seluruh kehidupan saya bertemankan alam dan belantara.

Bau musim tengkujuh telah melazimi saya semenjak kecil lagi.

Kerana apabila bau itu menjelma, saya perlu bersiap sedia untuk memindahkan kawanan lembu daripada lembah ke kawasan tinggi.

Bukan sedikit, bahkan puluhan dan ratusan ekor.

Kadang-kadang saya keluar rumah selepas subuh, dan hanya kembali semula selepas isyak.

Seluruh masa tersebut saya akan berhujan, tanpa sebarang perlindungan sama ada raincot atau payung.

Kadang-kadang langsung tak makan apa-apa, kalau ada pun hanyalah ubi stelo (keledek) mentah yang digigit sambil menghalau lembu-lembu.

Lembu-lembu itu perlu dipindahkan segera, jika tidak akan mati kelemasan.

Jika lembu mati kelemasan, lemaslah seluruh kehidupan kami.

Kerana lembu adalah nadi kehidupan kami.

Semua adik beradik kami menjejak tangga menara gading dengan hasil lembu.

Sebab itulah lembu sangat nostalgia dalam kehidupan saya.

Ayah hanya akan mengheret seekor lembu betina yang dianggap sebagai kepala kawanan.

Selebihnya dilepaskan.

Sayalah yang bertanggungjawab untuk memastikan semua lembu itu berjalan mengikut kepala kawan yang diheret oleh ayah.

Lembu tetap lembu, degilnya tidak bertempat.

Seringkali lembu-lembu tersebut, khususnya yang muda lari ke arah lain. Bukan seekor yang tak ikut arahan, sebaliknya ramai dan lari pula pada arah berlainan.

Bayangkan sengsaranya kerja saya. Kadang-kadang menangis kerana takut lembu-lembu itu sesat, hilang dan terjatuh sungai.

Selebihnya menangis kerana takut ayah marah.

Namun tangisan di bawah hujan lebat tidak sebeberapa kesannya. Kerana air mata terus bercampur dengan hujan. Esakkan hilang dengan bising hujan dan derap kaki lembu yang ramai itu.

Itulah kerja saya setiap kali menjelang 'winter' pantai timur.

Banyak lagi perkara lain yang menyebabkan bau musim tengkujuh melekat kuat dalam minda saya.

Pada musim itulah saya terpaksa menolong emak menggali ubi stelo supaya tidak ditenggalami air boh.

Kalau tenggelam rugilah kami, walaupun pada waktu itu harga keledek hanyalah 10 sen sekilogram.

Pada musim itulah saya akan menyuluh dan menangkap ikan pada waktu malam.

Pada musim itulah saya akan tahan tauk menggunakan umpan cacing. Cacing mudah didapati kerana semua cacing berpindah ke tempat tinggi. Mudahlah kami mencangkulnya.

Pada musim itulah juga kami menangkap burung puyuh pada waktu malam. Apabila kawasan rendah tenggelam, puyuh akan berpindah ke kawasan tinggi. Mudahlah kami menangkapnya. Kadang-kadang sampai dinihari.

Pada musim itulah kami akan menyuluh burung ayam-ayam yang kesejukan di pucuk mensiang yang tenggelam.

Pada musim itulah kami berperahu menangkap burung sitar yang tidak ada tempat tuju kerana sebahagian besar kawasan rendah tenggelam.

Pengalaman-pengalaman ini menyebabkan saya seolah-olah sebati dengan alam.

Sebab itulah saya boleh mencium bau musim tengkujuh yang akan tiba.

Bukan setakat musim tengkujuh, banyak lagi yang saya boleh hidu. Antaranya aroma padi, sungai yang ada ikan dan ada udang, belukar yang ada burung wak-wak, dan sebagainya.

Susah untuk dihuraikan bagaimana aroma-aroma ini boleh melekat dalam minda dan jiwa.

Sesiapa yang attach secara langsung dan dalam dengan alam pasti akan memahami.

Seumpama Kinto dalam Senjakala, begitulah aku dengan belantara.

Lembah dan belantara aku berlatarkan Bukit Jeruk dan Gunung Tebu, yang kerananya aku kenali diriku sebagai Putera Gunung Tebu.

Selamat ber'winter' orang-orang pantai timur tanah melayu.

No comments: