Wednesday, April 2, 2008

Siri Jelajah Najib: Perkuat Umno Atau Perkuat Pengaruh Peribadi?

Datuk Seri Najib Razak akan mengetuai jelajah ke seluruh negara bagi memberi penjelasan kepada ahli Umno dalam usaha mengukuhkan semula parti. Jelajah yang bermula 14 April ini adalah hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno yang dipengerusikan sendiri oleh beliau.
Pemerhati politik tanah air melihat perkembangan ini sebagai strategi terbaru Najib untuk mengukuhkan pengaruh peribadi serta kumpulan beliau dalam pertembungan dengan blok Pak Lah dan menantunya Khairy Jamaludin.
Perkembangan ini juga menampakkan usaha berterusan untuk memantapkan team Najib dan Hishamuddin dalam Umno. Minggu lalu kem Pak Lah menerima tamparan hebat apabila Dato' Mukhriz secara berkias mengumumkan beliau 'menyertai kem Najib dan Pak Lah'.
Mukhriz apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan ketua pemuda Umno atau tidak menjawab "bergantung kepada bos saya Datuk Hisham. Sekiranya Datuk Hishammudin bertanding jawatan lebih tinggi dalam parti, saya akan bertanding jawatan ketua pemuda".
Pemerhati politik tanah air membuat analisis kenyataan Mukhriz itu sebagai pengumuman simbolik bahawa beliau menyertai kem Hishamuddin dalam pertembungan dengan Khairy. Analisa itu dilihat ada kebenaran apabila Hishammuddin langsung tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Mukhriz walaupun diarahkan oleh Pak Lah dalam kes surat Mukhriz meminta Pak Lah bertanggungjawab dan meletak jawatan ekoran prestasi buruk BN dalam pilihanraya umum yang lepas.
Semasa ditanya tentang kemungkinan pertandingan dalam pos tertinggi Umno iaitu jawatan presiden, Mukhriz menjawab "secara peribadi saya menyokong Datuk Seri Najib sebagai presiden Umno". Jawapan ini membuktikan bahawa Mukhriz menyokong Najib untuk menentang Pak Lah bagi pemilihan kerusi presiden.
Penyertaan Mukhriz yang disokong kuat oleh Mahathir pasti menguatkan lagi kem Najib-Hishammuddin. Program jelajah ke seluruh negara yang akan dilakukan oleh Najib bermula 10 April ini akan menambahkuatkan lagi pengaruh peribadi dan kem Najib. Walaupun tujuan utama jelajah tersebut adalah untuk memulihkan prestasi Umno dan BN, pastinya Najib akan 'menyelam sambil minum air'.
Bagaimana orang Pak Lah dalam Jawatankuasa Pengurusan Umno boleh membenarkan Najib membuat jelajah ini menimbulkan persoalan besar. Adakah kem Pak Lah - Khairy sudah begitu lemah hingga ancaman begini besar pada mereka tidak dapat dikesan? Apakah perkembangan ini yang menyebabkan khabar angin Pak Lah akan berundur semakin kencang sehari dua ini?