Wednesday, September 17, 2008

Peralihan Pak Lah - Najib 2009?

Di sebalik desakan yang bertubi-tubi, semalam Pak Lah dan Najib buat sidang akhbar bersama untuk mengulangi komitmen bahawa peralihan kuasa antara mereka berdua tetap akan berlaku Jun 2010.

Sidang akhbar itu penuh tegang dan emosional. Sekilas ikan di air, para wartawan sudah mengetahui gelodak kuat yang sedang berkocak di lubuk hati kedua-dua pemimpin besar tersebut.

Seperti banyak penganalisis politik lain, wartawan juga telah mendapat info 'sebalik tabir' keputusan antara mereka berdua.

Antaranya, peralihan kuasa tersebut akan berlaku awal, seawal tahun 2009.

Bagi menunjukkan keseriusan, Najib perlu melalui pengalaman sebagai menteri kewangan, kementerian paling kanan dalam pentadbiran negara.

Sebab itulah, proses membahagi pusaka antara mereka berdua berlaku semalam.

Monday, September 15, 2008

Cikgu Pa Mesti Letak Jawatan

Oleh NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

1. Saya telah membaca dengan teliti pandangan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang kali ini lebih gemar menggunakan nama beliau sebagai pengamal dan penganalisis politik daripada bertindak sebagai seorang Pesuruhjaya PAS Negeri. Walaupun sewaktu beliau berdiri sebagai penganalisis politik dalam mana-mana waktu sekalipun, pada saya, beliau tetaplah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Baik dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring, Mustafa bin Ali adalah seorang Pesuruhjaya PAS.

2. Dengan demikian, mahu tidak mahu pandangan beliau itu tetap mencerminkan pandangan PAS Terengganu. Lebih mendukacitakan lagi ialah apabila pandangan beliau ini bersifat anti keputusan Muktamar. Sekaligus, ia menentang arus Syura yang memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak sebaliknya seperti yang sedang dilakukan oleh Mustafa Ali. Dalam respons dan setiap ayat yang digunakan, saya tidak nampak sikap Mustafa yang boleh mengukuhkan Pakatan Rakyat seperti yang diputuskanoleh Muktamar secara “standing ovation”.

3. Sepatutnya tugas pemimpin termasuk Pesuruhjaya ialah mendukung dan mengukuhkan keputusan Muktamar. Sifat rajin mengeluarkan kenyataan walaupun tidak disuruh adalah sesuatu yang aneh dan menghairankan. Lebih-lebih lagilah ia mencanggahi keputusan Muktamar. Sepatutnya ceramah atau temuramah bersifat lanjutan kepada keputusan Muktamar.

4. Saya membuat perbandingan antara kenyataan Mustafa di muka surat 1 dan 3 Utusan Malaysia, 11 September 2008 dengan kenyataan Dato’ Johari Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri termasuk kenyataan PM sendiri dalam Berita Harian pada hari yang sama. Mesejnya sama iaitu tidak ada apa yang akan berlaku pada 16 September 2008 iaitu “tidak mungkin ada undi tidak percaya kerana Parlimen tidak bersidang.” Sentimen Mustafa yang “terus terang tidak yakin adanya bilangan sebanyak 30 orang yang akan melompat parti” betul-betul serupa dengan nada Presiden Umno. Betul-betul serupa.

5. Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno. Kita kena faham bahawa lidah ini adalah jurubahasa kepada hati. Jika begitu keadaannya apa yang ada dalam hati, maka lebih baik terang-terang sokong Umno. Hujah untuk “meredakan keresahan rakyat” yang digunakan oleh Mustafa tidak tepat. Apa yang tepat ialah kita kena tanya rakyat resah kerana apa? Jawabnya, rakyat resah kerana pimpinan di bawah Umno selama ini telah menimbulkan seribu satu macam keresahan. Usaha Pakatan Rakyat yang sama-sama sedang didukung oleh PAS, PKR dan DAP ini adalah usaha untuk memulihkan keresahan rakyat. Pemulihan dan keyakinan akan berlaku apabila Pakatan Rakyat menguasai di peringkat Pusat. “Cross over” kepada Pakatan Rakyat yang menuju ke arah peralihan kuasa sama ada 16, 17, 18, 19 atau 20 September 2008 hendaklah menjadi agenda setiap orang : agenda setiap Pesuruhjaya PAS Negeri termasuklah Mustafa bin Ali. Inilah semangat Muktamar yang telah kita sama-sama
putuskan secara sebulat suara. “Standing ovation” itu adalah sebulat suaralah tu. Keputusan Muktamar ini, bukan kerja main-main.

6. Apa tujuan kita adakan kursus, seminar, ceramah, tamrin, usrah, doa, sembahyang hajat, munajat, pagi, petang, siang dan malam kalau tidak kerana untuk menumbangkan sebuah pemerintahan yang tidak cenderung kepada Islam. Jika Umno hendakkan Islam, sudah lama dia laksanakan Islam.

7. Saya tidak fahamlah bila Mustafa menyebut bahawa dia bercakap secara bebas dan pendirian beliau bertaraf peribadi; bukan atas kapasiti seorang pemimpin PAS. Pada saya, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam Islam, seseorang itu hanya boleh mempunyai satu sahsiah saja. Sesiapa yang cuba bermain-main dengan dua atau lebih rupa sahsiah, tidak layak menjadi pemimpin gerakan Islam. Sebab itu, Islam selalu menekankan soal tauhid, yakni penyatuan segala perkara di atas satu dan menuju kepada satu. Dalam PAS, tidak ada dua wajah sahsiah. Jika ada juga, maka ia sesuai untuk mewakili Umno.

8. Jika Dr. Mahathir pernah berkata bahawa ia tersalah pilih Perdana Menteri maka dalam konteks ini boleh jadilah Terengganu sudah tersalah pilih seorang Pesuruhjaya. Dalam akhir ayat Mustafa Ali, ada juga saya terbaca beliau menyifatkan isu ini timbul disebabkan keghairahan satu pihak untuk mengambil alih kerajaan. Di sini, saya cukup tidak fahamlah. Seolah-olah pada Mustafa, adalah satu kesalahan apabila kita ghairah nak gantikan kerajaan secara demokrasi. Sejak bila pula Mustafa jadi begini? Kita kena faham bahawa isu menghuruharakan ini timbul kerana sejak 50 tahun Umno memimpin negara, rakyat tidak dipimpin dengan jelas dan betul dari segi Islam atau demokrasi. Keadilan tidak diberi kepada orang-orang Melayu, Cina, India, Siam atau Kadazan. Ini yang kita ghairah untuk menggantikan kerajaan. Kita bawa Islam kerana Islam itu adil. Islam itu untuk keamanan dan kesejahteraan seluruh kaum yang bermastautin di Malaysia. Apabila nampak bahawa Kerajaan
BN/Umno sudah panik dan resah sehingga terpaksa melarikan 50 Wakil Rakyat, maka pada saya, ini adalah petanda kejayaan. Tak tahu lah pula saya kenapa Mustafa Ali terpaksa bersusah payah untuk menjelaskan situasi sebenar demi meredakan. Meredakan hati siapa? Hati pemimpin Umno?

9. Dalam keadaan beginilah hati saya cepat-cepat teringat tentang HARAKAH. Saya tak dapat bayangkan bagaimana HARAKAH boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu yang merupakan Pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar. Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej HARAKAH. Pada logiknya, pembaca HARAKAH akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.

10. Saya sebenarnya masih mahu mengambil sikap bertangguh dari terlalu cepat mengemukakan respons. Dengan begitu, saya akan cuba ikuti lagi apa rentak yang akan dibawa oleh pemimpin seperti Mustafa Ali. Saya percaya, mungkin ada satu atau dua orang lagi yang bersama dengan beliau. Selaku orang tua dalam parti, saya telah mengikuti orang penting dan orang yang tidak penting keluar masuk ke dalam parti. Bahkan Allahyarham Dato’ Haji Asri Muda sekalipun pernah meninggalkan Parti PAS. Pada waktu itu beliau adalah di kerusi Presiden. Beliau akhirnya masuk Umno dan semua orang tahu bagaimana beliau mengakhiri karier politiknya.

Bertarikh : 11 Ramadhan 1429
11 September 2008.

Sunday, September 14, 2008

Tahniah Datuk Zaid

Datuk Zaid Ibrahim, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang akan bertemu dengan Pak Lah, Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Tujuannya dua, pertama minta Pak Lah bebaskan segera Raja Petra dan Teresa yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kedua, beliau nak minta Pak Lah hentikan segera penggunaan ISA untuk menangkap sesiapa sahaja kecuali komunis.

Kata beliau,

"Tujuan asal (ISA), digunakan terhadap pengganas bersenjata, orang yang hendak menggulingkan kerajaan secara paksaan...komunis. Jadi, kita perlu tetap dengan itu," katanya.

"Kita mempunyai sebuah kerajaan yang komited kepada undang-undang dan pembaharuan, kita tidak boleh menggunakan politik gaya lama atau bertindak mewujudkan ketakutan".

"Kita ada undang-undang dan mereka boleh didakwa di mahkamah.

"Saya sedang berusaha untuk bertemu Perdana Menteri (Abdullah Ahmad Badawi) minggu ini untuk menyatakan pendirian saya itu kepada beliau.

Paling membanggakan, Datuk Zaid bertekad akan meletak jawatan jika idea ini tidak diterima dengan positif oleh Pak lah.

Katanya,

"Jika (beliau menganggap) pendirian saya itu tidak dapat dipertahankan, saya akan letak jawatan,"

Banyak perkara saya tidak setuju dengan Zaid. Namun dalam hal ini, saya salute!

Saturday, September 13, 2008

Bijaknya Hamid Albar

Semalam saya sempat mengikuti laporan sidang akhbar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar di Bukit Aman tentang penahanan beberapa individu dibawah akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Secara peribadi, saya memang menolak undang-undang ISA kerana ia bertentangan dengan nilai akademik, keadilan dan ketamadunan manusia.

Jadi saya tidak berminat untuk mengulas penerangan beliau tentang rasional tiga orang tersebut ditahan, serta rasionalnya salah seorang tersebut yang akhirnya dibebaskan.

Pun saya takut juga, ulas lebih-lebih nanti, saya juga akan dipaksa pergi kursus pertanian berasaskan teknik fertigasi di kolej ISA yang terletak di Kemunting itu.

Sekarang musim orang kursus pertanian. Bulan puasa pun pergi kursus juga. Sempat lagi singgah kat Macau, Hong Kong. Mungkin nak belajar macam mana nak integrasikan industri pertanian dengan industri perjudian.

Cuma saya nak ulas sikit tentang kecerdikan, kebijaksanaan dan kesarjanaan Menteri Dalam Negeri yang terserlah sepanjang sidang akhbar tersebut.

Pertama, sidang akhbar tersebut dibuat dalam Bahasa Inggeris. So, seluruh dunia boleh memahami apa yang diperkatakan oleh si menteri berdarah mulia tersebut.

Dalam masa yang sama, sidang akhbar tersebut penuh sesak dengan wartawan dalam dan luar negeri. Impaknya pasti bergema ke seluruh jagat.

Kebijaksanaan anak Albar ini paling terserlah apabila beliau menjawab soalan wartawan yang bertanya kenapa Datuk Ahmad Ismail, bekas ketua Umno Bahagian Bukit Bendera tidak ditahan bawah ISA, sedangkan dia yang mencetuskan isu perkauman ini?

Lalu Hamid menjawab, "Parti dah ambil tindakan terhadap dia. Dia dah digantung (keahlian) selama tiga tahun".

Saya sangat puas hati mendengar penjelasan ini.

Inilah penjelasan paling munasabah dan rasional yang pernah dikeluarkan oleh seorang menteri kabinet abad ini.

Saya yakin, penjelasan ini akan diterima oleh seluruh sarjana sosial dan sarjana undang-undang segenap pelusuk bumi.

Kerana penjelasan ini sangat rasional dan waras.

Amalan ini harus diikuti dan diamalkan oleh negara-negara lain di dunia untuk memastikan keadilan tertegak dalam negara masing-masing.

Polis tidak boleh menangkap seorang pemuda yang merompak, kerana ayahnya dah tarik telinga dia sebagai hukuman. Dia dah dikenakan tindakan oleh keluarga!

Polis tidak boleh tangkap seorang perogol, kerana dia dah ditinggalkan isteri. Dia dah dikenakan tindakan oleh peraturan rumah tangga!

Polis tidak boleh tangkap seorang penagih dadah, kerana dia dah dipulau oleh orang kampung. Dia dah dikenakan tindakan oleh organisasi sosial kampung!

Undang-undang negara yang dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta diluluskan oleh YDP Agong dianggap tidak terpakai apabila ada organisasi lain telah mengambil tindakan terhadap mana-mana pelaku kesalahan tersebut.

Terima kasih Datuk Seri kerana memahami hamba yang bodoh ini!

Wednesday, September 10, 2008

Krisis Umno-Gerakan Penang: Akhirnya Ahmad Tewas

1. Semalam mesyurat Majlis Tertinggi umno yang bersidang hampir tiga jam memutuskan ketua umno bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail digantung keahlian selama tiga tahun, serta dilucutkan hak-hak keahliannya selama tempoh tersebut.

2. Hukuman tersebut dijatuhkan ekoran kenyataan Ahmad yang mengencam kaum cina semasa berceramah dalam kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh baru-bari ini.

3. Tidak pula diketahui motif kenyataan tersebut dikeluarkan dalam keadaan BN sangat mengharapkan sokongan semua kaum untuk berhadapan dengan raja PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tempoh hari.

4. Sama ada kenyataan tersebut berkesan mempengaruhi pola pengundian tidaklah diketahui, namun akhirnya Anwar memenangi pertemuan tersebut dengan majoriti yang lebih besar berbanding yang diperolehi oleh isterinya enam bulan yang lalu.

5. Selain kalah pilihanraya kecil tersebut, BN juga terjeremus ke kancah perbalahan yang merungsingkan semua pihak ekoran kenyataan Ahmad Ismail tersebut.

6. Saya katakan semua pihak kerana ia mengundang Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat kenyataan terhadap bara perkauman yang tercetus rentetan daripada isu tersebut.

7. Polis Di Raja Malaysia (PDRM) turut membuat kenyataan dan ingatan yang sama. Walaupun bos mereka, Musa Hasan tidak berdaya untuk mengeluarkan amaran tersebut, namun PDRM masih ada Timbalan KPN untuk concern kepada permasalah tersebut.

8. Umno telah ditekan dengan teruk oleh parti komponen BN yang lain supaya mengambil tindakan terhadap Datuk Ahmad Ismail. Perkara ini boleh ditelah apabila menganalisis nada suara dan memek muka pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad semasa membuat sidang akhbar sejurus usai mesyuarat majlis BN pada hari selasa, 9 September kelmarin.

9. Akhirnya mesyuarat MT umno semalam memutuskan Ahmad digantung keahlian selama tiga tahun serta dilucutkan semua hak-hak keahlian sepanjang tempoh tersebut.

10. Dalam reaksinya kepada media, Datuk Ismail berkata; "Saya ucap tahniah pada Koh. Dia menang, tak apa, hari ini hari dia".

11. 'Koh' yang dimaksudkan adalah Tan Sri Koh Tsu Kon, pemangku presiden Gerakan merangkap bekas ketua menteri Pulau Pinang.

12. Saya adalah budak kampung. Masa kecil dulu tak lekang dengan segala macam permainan yang bercorak competition. Kejar-kejar (polis sentri), tol nusuk (sembunyi-sembunyi), kejar mengejar dalam sungai, tembak-tembak dan lain-lain lagi adalah contoh permainan kami kat kampung.

13. Seringkali permainan (pertandingan) ini akan diakhiri dengan perbalahan kecil akibat tidak puas hati antara satu sama lain. Budak-budaklah katakan.

14. Sama ada saya, atau sapa-sapa yang kalah dulu, juga akan kata, "tak apa, hari ni hari dia".

15. Maksud kata-kata tersebut ialah kekalahan tersebut akan dibalas dalam permainan pada hari lain. Begitulah kami anak-anak desa pedalaman yang tiada permainan lain kecuali permainan yang terpaksa kami reka sendiri seumpama itu.

16. Setelah puluhan tahun terlupa dengan ungkapan tersebut, semalam saya terimbau nostalgia lama apabila Datuk Ahmad Ismail mengungkapnya kembali. Lebih saya terkejut apabila kata-kata kami di kampung terpencil dulu diulang sebut di Putrajaya, kota pentadbiran sebuah kerajaan agung!

17. Kalaulah Ahmad Ismail mengungkap kalimah itu umpama kami ungkapkan puluhan tahun dahulu, sah bahawa isu ini susah nak diselesaikan segera.

18. Bagi kami dulu, apabila ungkapan "tak apa, hari ni hari dia" dikeluarkan bukan bermaksud penamat permaianan, tetapi perisytiharan bahawa pertempuran baru bermula.

19. Apakah Ahmad Ismail (umno) dan Koh Tsu Kon (Gerakan) ingin mengulangi kegilaan kami dulu?

20. Harap-harap janganlah.

21. Udah-udahlah tu. Usahlah ulang kebodohan kami dulu.

22. Untuk kawan-kawan kampung ku dulu, yang sebahagiannya masih lagi kat kampung, ingin ku khabarkan bahawa 'puluhan tahun dahulu kita telah merintis satu modul perbalahan' untuk dicontohi ahli politik tersohor era milenium ini!

23. Keh keh, kua kua....

Monday, September 1, 2008

Ramadan Kareem

Hari ini hari kedua umat Islam di Malaysia menyambut puasa. Alhamdulillah, Allah masih izinkan kita bertemu kembali dengan bulan yang awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan penghujungnya pembebasan daripada api neraka ini.

Asalnya hari ini aku ingin berbicara tentang perbahasan untuk memberi imej baru kepada Barisan Nasional, yang idea asalnya dikemukakan oleh Muhyiddin Yassin hari Sabtu lepas.

Nampaknya idea itu telah disokong oleh sekutu BN, antaranya MCA dan Gerakan.

Namun dalam masa yang sama, MCA dan Gerakan secara lantang mendesak agar Umno mengambil tindakan tegas terhadap Ahmad Ismail yang begitu celupar mengatakan bangsa China hanya menumpang di bumi Malaysia. Kata-kata ini dikeluarkan semasa ceramah kempen Permatang Pauh hari tu.

Namun mood untuk menulis kedua-dua isu ini pudar apabila mentari kian meninggi.

Aku hanya mengambil sedikit masa menjawab beberapa email daripada kawan dan kenalan.

Sudah memang prinsip aku untuk meraikan semua orang yang sudi berbicara dan bermuamalat dengan diri ini.

Walaupun sebahagian daripada mereka adalah kawan dan kenalan biasa, namun aku tidak pernah menganggap mereka tidak penting bagi aku.

Sedangkan nabi begitu kasih kepada orang Islam, inikan pula aku untuk tidak meraikan silaturrahim yang dihulurkan oleh saudara sesama Islam.

Apatah lagi kita berada di bulan Ramadhan Mubarak.

Banyak pahalanya kita memperkukuhkan silaturrahim.

Apatah lagi ia sememangnya tuntutan agama kita.

Akhirnya, tak sempat untuk aku ulas kedua-dua isu tersebut.

(Arghhh... itu alasan saja. Engkau tu yang pemalas wahai penyair dari gunung..)

Apatah lagi mata ku semakin layu.

Ingat nak lelapkan mata kejap (atas kerusi lah, bukan atas katil).

Petang ni isteri ajak buat bubur lambuk. Sah aku yang kena pergi kutip pucuk-pucuk tu kat tepi hutan nanti.

Lauk nasi?

Tak kisah.. beli je kat bazar Ramadan kat pekan tu nanti.

Beli ikan terubuk bakar untuk aku dan isteri, ayam perincik panggang untuk anak-anak.

Anak yang sulung enam tahun lebih, yang tengah empat tahun lebih.

Semalam kedua-duanya puasa sampai habis.

Kesiannya yang angah, dari pukul 5 petang asyik menghitung waktu.

Sebagai ayah, jauh di sudut hati bangga dan syukur dengan anak-anak walaupun usianya masih kecil.

Walaupun masih mentah, begitu bersemangat untuk penuhkan semua tuntutan agama sama ada solat, puasa, baca al-Quran dan lain-lain.

Itulah yang sering aku doakan siang malam, agar ruh Islam memenuhi setiap dada anak-anak ku.

Terima kasih untuk isteri ku tersayang, yang sabar dan tega mendidik anak-anak.

Percayalah, jika uminya memahami dan berakhlak dengan akhlak Islam, anak-anak akan terikut sama.

Bak kata pepatah, ke mana tumpah kuah kalau bukan ke nasi...

Oleh kerana tajuk posting ini Ramadan Kareem, maka diucapkan selamat beramadhan kepada semua.

Maaf kerana posting ini berterabur harur. Aku sendiri tak tahu apa yang telah aku tulis. He he he..