Monday, May 11, 2009

Nizar Menteri Besar Yang Sah

Dipetik dari Malaysia Kini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Dalam penghakimannya, hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan.

Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian.

Permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk menangguhkan penghakiman tersebut ditolak oleh mahkamah.

Mengulas kemenangannya, menteri besar Pakatan Rakyat itu berkata beliau akan menghadap Sultan Perak berhubung penghakiman mahkamah tersebut.

Pada 13 Februari lalu, Mohamad Nizar memfailkan saman mencabar pelantikan Zambry di kompleks mahkamah Jalan Duta, kira-kira seminggu selepas rampasan kuasa BN dan sekali gus pelantikan wakil rakyat BN itu.

Mohamad Nizar, ADUN Pasir Panjang, juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah perisytiharan bahawa Zambry yang dilanti 6 Februari lalu tidak berhak memegang jawatan menteri besar.

Dalam permohonan itu, wakil rakyat PAS itu mendakwa beliau masih menteri besar yang sah atas tiga alasan berikut:

(i) Tidak terdapat pembubaran DUN Perak;

(ii) Tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh DUN terhadapnya sebagai menteri besar Perak; dan

(iii) Tidak terdapat peletakan jawatan menteri besar Perak.

"Melalui kenyataan media pejabat Sultan pada 5 Februari 2009, Sultan bertitah tidak akan membubarkan DUN dan sekiranya saya serta ahli majlis mesyuarat negeri tidak meletakkan jawatan, jawatan kami akan dianggap kosong.

"Saya menegaskan bahawa walaupun terdapat usaha mengusir saya daripada jawatan menteri besar Perak, saya masih menteri besar dan masih menjalankan fungsi dan tugas dengan baik, cermat dan adil," katanya dalam afidavit, menyokong permohonan itu.

Mohamad Nizar juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya responden memberikan tunjuk sebab bagaimana dan di bawah dasar apa Zambry, sebagai responden, berhak memegang jawatannya sekarang.

Beliau mendakwa responden secara tidak sah mengambil dengan tiada hak dan merampas jawatan menteri besar, serta menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai menteri besar secara tidak sah dan bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Nizar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang responden daripada melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas menteri besar di negeri itu.

No comments: