Monday, May 25, 2009

Sejarah Yang Hilang

Hati meronta-ronta untuk menulis dan berbicara tentang perjuangan golongan kiri dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Tapi terpaksa dibatalkan kerana bimbang dipaksa berkursus di Kem Kemunting pulak nanti.

Gelodak ini beriak apabila mual dengan amaran Menteri Penerangan, Rais Yatim yang meminta Kementerian Dalam Negeri bersiap siaga untuk mengISAkan mana-mana penulis blog tentang perjuangan PKM.

Begitulah, sering sahaja kuasa dan kediktatoran dijadikan senjata utama untuk mematikan sesuatu hujah yang berlainan, bukannya hujah berasaskan nilai akademik yang digunakan.

Dari dulu hingga sekarang, aku tidak pernah bersetuju dengan ideologi Parti Komunis Malaya (PKM). Apatah lagi perjuangan itu jauh tersimpang daripada konsep jihad dalam Islam.

Namun hati sering berlagu pilu, tersentuh dan syahdu apabila mengenangkan sejarah kelahiran Rejimen Ke 10 PKM pada 21 Mei 1949 di Kerdau, Termeloh.

Teman2 boleh melihat pendirian ini dalam banyak tulisan2 sebelum ini. Antaranya http://puteragunung tebu.blogspot. com/2008/ 10/shamsiah- fakeh-perginya- pejuang-bangsa. html

Aku masih berpendirian, jika penjajah British tidak mengharamkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Pembela Tanah Air (PETA), Barisan Tani Malaya (BTM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Hizbul Islami dan lain-lain gerakan kemerdekaan yang lain (kecuali UMNO), Rejimen Ke 10 PKM tidak akan diwujudkan.

Semua pemimpin Rejimen Ke 10 adalah bekas pemimpin gerakan kemerdekaan ini yang telah diharamkan dan akan ditangkap (sebahagian telah ditangkap, termasuk Burhanudin Helmi).

Inilah sejarah yang hilang daripada silibus pendidikan anak-anak kita di sekolah.

Setiap tahun, bahkan bulan, akan ada antara bekas pejuang kemerdekaan ini yang pergi bertemu Ilahi. Hari demi hari sejarah gemilang perjuangan kemerdekaan bangsa tercinta telah dibawa pergi.

Sebulan lebih yang lepas, Pak Abu Samah juga telah meninggal, hanya beberapa bulan selepas Shamsiah Fakeh.

Walau hati sayu, aku tak berani nak menulis banyak tentang pemergian Pak Abu Samah.

Tak berbaloi langsung kalau diISAkan hanya kerana itu.

Kerana aku bukan komunis, dan memang benci kepada PKM.

Namun aku mengakui sebahagian besar pemimpin dan anggota Rejimen Ke 10 PKM adalah bekas pejuang kemerdekaan tanah air tercinta ini.

Penjajah Britishlah yang menjadikan mereka komunis.

Tak percaya, tanyalah Tan Sri Aishah Ghani. Beliau masih hidup. Beliau adalah memoir bergerak yang menyimpan sejarah ulung gerakan kemerdekaan negara, khususnya Angkatan Wanita Sedar (AWAS).

Lebih malang, kita gagal menyelesaikan kemelut ini walaupun negara merdeka pada tahun 1957. Hanya pada tahun 1989 barulah terhasil genjatan senjata. Itupun setelah ribuan nyawa terkorban, ribuan anak menjadi yatim, ribuan isteri menjadi balu.

Pintaku hanya satu, janganlah disorok sejarah.

Biarlah sejarah yang benar terus menjadi asas pemikiran bangsa merdeka ini.

Persetankan Chin Peng dan kepimpinan PKM lain yg memang bertauhidkan komunis itu.

Tapi berilah sedikit keadilan untuk Abdullah CD, Rashid Maidin, Kamarulzaman Teh, Mat Amin, Mat Indera, Shamsiah Fakeh, Manap, Cikgu Taha, Mat Kerinau, Maimun, Asiah, Hidzir, Ali Boyok, Yasin, Jidin, Alias, Bakri, Zahura , Abu Samah dan lain-lain itu.

Pak Abu Samah sebagai contoh, adalah cucu kepada Datuk Bahaman.

Darah pendekar Melayu yang mengalir dalam tubuhnya itu.Bak kata Usman Awang (bukan ditujukan kpd abu samah),

Jika hilangmu tanpa pusara
Jika pusaramu tanpa nama
Jika pusaramu tanpa bunga
Mereka mengatakan kau penderhaka
Engkau tetap pahlawan
Sungai Pahang berubah merah
Rumput tebingnya segala musnah
Satu-satu pahlawan rebah
Arus merahnya menjulang mayat
Pahlawan bangsa pahlawan rakyat
Tujuh liang dadanya tersayat


Sebahagian pemimpin Rejimen Ke 10 t dgn pantun pertiwi turut berkobar semangatnya oleh puisi Burhanudin Helmi;

Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan Jiwa Merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.


Apabila saya berbicara secara ilmiah begini dgn kawan-kawan, ada yang bertanya.. "Jika engkau hidup pada waktu itu, dan engkau salah seorang pemimpin API atau Hizbul Muslimin atau KMM, adakah engkau akan turut menyertai Rejimen Ke 10?

Jawabku...

"Pada waktu itu kita dijajah oleh Inggeris. Dan prinsip hidupku,

DARI HIDUP BERCERMIN BANGKAI, BAIK MATI BERGALANG TANAH!

No comments: