Wednesday, July 8, 2009

PPSMI: Mahathir Dikuburkan Sebelum Mati

Hari Isnin, 6 Julai 2009, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)telah mengunjungi bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tujuan kunjungan tersebut adalah untuk memaklumkan bahawa dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dihentikan.

Tidak dapat difahami rasional kenapa Muhyiddin sebagai Menteri Pelajaran perlu memaklumkan kepada Mahathir hasrat tersebut.

Mungkin atas rasa hormat kepada Mahathir yang memperkenalkan dasar tersebut tujuh tahun dahulu.

Mungkin juga sebagai 'pertahanan hadapan' agar Mahathir tidak menentang dan membuat kecoh apabila keputusan tersebut diumumkan.

Pak Lah, bekas perdana menteri ke-5 telah jatuh setelah Mahathir menentang dan buat kecoh kes pembatalan jambatan bengkok ke Singapura.

Mungkin Muhyiddin dan Najib tidak mahu malapetaka yang berlaku kepada Pak Lah berlaku kepada mereka.

Bagi mengelakkan malapetaka pisang berbuah dua kali, Muhyiddin mengambil keputusan untuk membuat 'kunjungan hormat' terlebih dahulu kepada mantan PM tersebut.

Dalam pertemuan tersebut, Tun Mahathir menyatakan tidak bersetuju terhadap cadangan KPM untuk menghentikan PPSMI.

Namun semalam, kabinet telah mengumumkan dasar tersebut ditamatkan berkuatkuasa tahun 2012.

Pandangan dan nasihat Mahathir telah dikesampingkan.

Ini adalah rentetan beberapa kronologi yang menyaksikan pandangan dan nasihat Dr Mahathir telah diketepikan.

Keadaan agak berlainan dengan situasi semasa Mahathir berada di tapuk kuasa.

Pada masa itu semua kehendak dan kemahuan Mahathir diturut 100 peratus.

Termasuklah dasar PPSMI ini.

Tidak ada menteri yang berani melawan dan membantah.

Dasar itu akhirnya dilaksanakan dalam keadaan persiapan, kajian dan penelitian yang berada pada tahap rendah.

Namun semalam, dasar itu ditamatkan walaupun Mahathir membantah.

Nampaknya Tun Mahathir dikebumikan sebelum meninggal dunia.

No comments: