Thursday, December 31, 2009

Surat Untuk YAB TG Nik Abdul Aziz

Assalamua'laikum wr wbt.

Kehadapan Tuan Guru yang dihormati,

Sekian lama saya tidak menulis dan mencoret sesuatu, khususnya berkaitan politik negara. Saya mengambil sikap untuk banyak bekerja berbanding banyak bercakap (termasuk juga menulis) untuk sedikit sebanyak membantu perjuangan Islam. Mudah-mudahan ada penilaian yang baik untuk saya daripada Allah, khususnya sebagai bekalan untuk kehidupan yang kekal abadi di sana nanti.

Namun hati tidak tertahan, melihat fitnah yang sedang melanda perjuangan kita, khususnya kerajaan Islam Kelantan yang kita bina hampir 20 tahun dahulu.

Pergolakan ini memberi persepsi yang sangat negatif terhadap Pas, kerajaan Kelantan, kepimpinan ulama dan kepemimpinan Pas secara umumnya.

Pergolakan ini juga berjaya menimbulkan sangsi kepada masyarakat awam yang menyokong kita sebelum ini. Kesangsian ini menyebabkan sebahagian daripada mereka menarik semula sokongan yang pernah diberikan sebelum ini. Terpulanglah kepada Tok Guru sama ada hendak percaya atau tidak. Namun saya percaya Tok Guru mempunyai pasukan penyelidikan yang mantap untuk mengukur situasi yang sedang dihadapi ini.

Tulisan dan bicara saya sebelum ini banyak menyokong Tok Guru. Walaupun tidak pernah dilantik, namun saya meletakkan diri sebagai benteng terakhir untuk mempertahankan al-fadhil Tuan Guru Mursyidul Am. Tuan Guru boleh melihat beberapa tulisan saya dalam http://puteragunungtebu.blogspot.com

Namun untuk kali ini, izinkan saya mengambil jalan yang songsang sedikit. Bak kata Tun Perak si bendahara Melaka yang tersohor itu,

"Patik mohon derhaka!!"

Bukan niat ingin menarik wala' kepada pimpinan, apatah lagi Mursyidul Am yang mursyid seperti Tok Guru, tapi ingin menyatakan pandangan yang berlainan dengan pemikiran yang ada pada Tok Guru mutakhir ini.

Hamba jua ingin menyampaikan pandangan dan persepsi umum masyarakat awam terhadap Tok Guru pada hari ini.

Sebelum ini pendirian Tok Guru sangat kukuh dan untuh. Tok Guru tidak pernah tunduk kepada serangan umno dan BN. Dengan kata lain, tidak kelihatan pun tanda-tanda bahawa Tok Guru akan tewas dek serangan daripada musuh, khususnya umno dan BN.

Namun akhir-akhir ini, mula kelihatan dengan sangat terang dan jelas bayang-bayang bahawa Tok Guru akan jatuh angkara anak dan menantu.

Saya tidak mewajarkan pandangan ini daripada posting beberapa blog yang kelihatan cuba menjatuhkan Tok Guru. Saya juga tidak mewajarkan pandangan ini daripada media masa munafik yang dengki dan irihati terhadap perjuangan Islam.

Saya mewajarkan pandangan ini berasaskan kebenaran yang terbentang di hadapan mata. Akibat kebenaran ini, Tok Guru, Pas dan Kerajaan Kelantan ditimpa fitnah yang sangat menyakitkan.

Dengan kata lain, persetankanlah Kickdefella dan Utusan Malaysia. Mereka tidak penting. Lebih penting adalah kebenaran yang terpaksa kita depani.

Tindakan Tok Guru melantik menantu sebagai CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK)tahun lepas benar-benar menggungsarkan saya. Dari apa sudut sekalipun, perlantikan ini adalah salah. Salah daripada sudut perundangan. Saya rasa Tok Guru sendiri sepatutnya arif tentang BAB D: Peraturan-peraturan kakitangan awam (kelakuan dan tatatertib) yang digunapakai dalam pentadbiran kerajaan.

Daripada sudut moral, Tok Guru juga salah. Tentu Tok Guru masih ingat kita hadapi PRU 10 pada tahun 1999 dengan menjadikan isu nepotisme dan kronisme sebagai isu utama untuk melawan umno dan BN. Enta bala apa yang menanti, kesilapan yang sama turut dilakukan oleh Tok Guru.

Tok Guru tentu sekali sangat sayang kepada anak menantu, seperti juga orang-orang lain. Saya juga sangat percaya, didikan dan tarbiah yang Tok Guru berikan pada anak menantu telah menjadikan mereka baik dan bagus dalam nilai moral dan akhlak.

Namun dalam bacaan politik, rakyat tidak melihat beberapa anak dan menantu Tok Guru ini sebagai baik.

Menantu Tok Guru (saya tidak berminat untuk menyebut namanya, ini adalah urusan rakyat dan pemimpin, dia tidak penting) yang sedang menjawat CEO PMBK sebagai contoh, jika dia anak menantu yang baik dari sudut politik, dia sepatutnya menolak jawatan ini dari dulu lagi.

Walaupun Tok Guru yang beria-ia melantik dia sebagai CEO, dia sepatutnya menolak dengan bersungguh-sungguh. Maksud bersungguh-sungguh tersebut ialah membawa segala bukti dan hujah untuk mewajarkan kepada Tok Guru bahawa cadangan tersebut adalah salah. Dia tidak boleh dilantik ke jawatan tersebut.

Kalau dia menantu yang baik, dia akan membuat segala kajian yang perlu untuk memberi pandangan kepada Tok Guru tentang kekhilafan ini. Dia bermentuakan seorang ketua kerajaan, sepatutnya dia tahu mana letak duduk dirinya. Dia orang cerdik lulusan universiti,takkan perkara sebegini pun hendak diajar.

Apabila isu ini timbul, dan Tok Guru minta dia letak jawatan, sekali lagi fitnah anak menantu meledak atas kepala kita. Saya tidak tahu sama ada tempoh tiga bulan untuk menantu Tok Guru itu letak jawatan dicadang oleh Tok Guru atau oleh menantu Tok Guru.

Sebagai menantu yang baik, apabila dia tahu jalan permulaan telah salah, sepatutnya dia bersegera untuk berpatah balik, bukannya meneruskan lagi perjalanan untuk tempoh tertentu yang menyebabkan sesat lebih jauh.

Jika kita sedang menikmati gulai lembu, tiba-tiba diberitahu bahawa lembu tersebut mati kena langgar lori dan tidak disembelih, apakah kita tidak mahu berhenti makan serta merta?

Apabila menyedari perkahwinan kita dahulu tidak sah kerana kecacatan dalam sesuatu rukun, adakah kita ingin meneruskan aktiviti suami isteri untuk sesuatu tempoh tertentu tanpa bersegera untuk nikah semula atau membetulkan kecacatan tersebut?

Apabila isu ini berterusan, anak menantu Tok Guru terus mengambil sikap mempertahankan diri. Memang Islam mengajar umatnya untuk mempertahankan maruah dan kebenaran, namun apalah nilainya pertahanan tersebut jika umat melihat sebagai menegakkan benang yang basah.

Saya tidak mahu menyebut berhentinya Anual Bakri sebagai SU Politik Tok Guru dan berhentinya Ustaz Saiba sebagai SU Akhbar ada kaitan dengan anak menantu. Namun saya pernah terbaca coretan oleh seorang putera dan seorang puteri Tok Guru tentang ketidakselesaan seluruh sesi anak menantu Tok Guru terhadap mereka,khususnya SU Politik.

Saya tidak tahu adakah anak menantu Tok Guru ada memberi nasihat atau pandangan tentang pemberhetian ini. Tok Guru renung-renunglah balik.

Mutakhir ini orang awam telah melihat anak menantu Tok Guru sebagai sokong membawa rebah. Harap Tok Guru mengambil cakna perkara ini.

Alangkah baiknya jika anak menantu Tok Guru dan anak menantu seluruh pimpinan Pas yang lain bertindak seperti anak khalifah Umar Abdul Aziz, khalifah Islam yang mashur itu.

Setelah dilantik sebagai khalifah setelah Khalifah Sulaiman Abdul Malik mangkat, Umar Abdul Aziz pulang ke rumah. Baginda berfikir tentang tugas baru untuk memerintah seluruh daerah Islam yang luas dalam keletihan setelah mengurus jenazah Khalifah Sulaiman bin Abdul-Malik.

Ia berniat untuk tidur.Pada saat itulah anaknya yang berusia 15 tahun, Abdul-Malik masuk melihat ayahnya dan berkata, "Apakah yang sedang engkau lakukan wahai Amirul Mukminin?".

Umar menjawab, "Wahai anakku, ayahmu letih mengurus jenazah bapak saudaramu dan ayahmu tidak pernah merasakan keletihan seperti ini".

"Jadi apa engkau akan buat wahai ayah?", Tanya anaknya ingin tahu.

Umar membalas, "Ayah akan tidur sebentar hingga masuk waktu zuhur, kemudian ayah akan keluar untuk shalat bersama rakyat".

Lalu berkata si anak, “Ayah, siapa pula yang menjamin ayah masih hidup sehingga waktu zuhur nanti sedangkan sekarang adalah tanggungjawab Amirul Mukminin mengembalikan hak-hak orang yang dizalimi”

Umar ibn Abdul Aziz terus terbangun dan membatalkan niat untuk tidur, beliau memanggil anaknya mendekati beliau, mengucup kedua belah mata anaknya sambil berkata “Segala puji bagi Allah yang mengeluarkan dari keturunanku, orang yang menolong aku di atas agamaku”

Alangkah jika beginilah anak menantu Tok Guru.....

3 comments:

kangkung said...

ada rasa lega sikit..

jamil said...

Salam tuan punya blog, penyakit menafikan kelemahan serta kesalahan diri ini bukan sahaja melibatkan TGNA, tetapi penyakit ini melingkari serta menjadi denyut nadi hampir kesemua ahli jemaah PAS. Kita amat suka menyalahkan pihak lain dan ini bukanlah satu conth yg baik untuk perjuangan islam. Agama kita sendiri tidak menyuruh kita melakukan sedemikian.

Jadi akhlak siapakah yang kita ikuti jika kita benar-benar mengatakan perjuangan kita adalah perjuangan islam?.

Tips said...

jamil...

tak payah tanya akhlak siapa..

akhlak tu tentulah akhlak setan,..