Saturday, March 7, 2009

Catatan Mac 7

Semalam aku berkesempatan berada di kota raya Kuala Lumpur. Metropolitan yang pada anggapan pelancong luar adalah aman dan sesuai dikunjungi pada bila-bila masa.

Sebenarnya aku berada di sana sejak Jumaat lagi, bertemu dan berbicara dengan teman-teman. Bahkan naluri aku kuat mengatakan teh tarik Kuala Lumpur jauh lebih menusuk aroma kelazatannya berbanding pekan kecil ini.

Seperti dalam cerita-cerita fiksyen yang lain, tiba-tiba saja aku terperangkap dalam gerombolan manusia yang entah apa tujuan. Seperti hantu yang menjengah dalam mimpi, mereka semua berpakaian putih. Wajah mereka penuh tekad.

Kalau dalam mimpi, sudah pasti gerombolan hantu ini akan menyerang aku. Dengan wajah yang menakutkan, umpama hantu-hantu dalam Pendekar Bujang Lapuk, mereka akan mengerkah aku semahunya, sebelum kemudiannya akan terjaga dengan peluh membasahi dahi ketakutan.

Namun hantu-hantu yang aku ketemui di bandaraya ibu kota semalam tidak begitu. Air muka mereka mesra dan penuh dengan wajah perdamaian. Namun memek mereka menyimpan tekad yang dalam.

Rupa-rupanya mereka berhimpun untuk membantah PPSMI, yang kemudiannya aku ketahui PPSMI itu adalah Pengajaran & Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Sukar aku menganggar jumlah mereka, kerana aku bukan juru anggar yang baik. Namun ketika aku terperangkap di tengah-tengah mereka, aku hanya boleh katakan aku tidak nampak pun kepala perarakan tersebut, kerana terlalu sayup mata memandang.

Apabila aku menoleh ke belakang, pun aku tidak dapat mengesan hujung ekor gerembolan ini. Juga kerana terlalu sayup mata memandang.

Terpulanglah pada kalian untuk menganggarkan jumlah tentera putih ini. Bagi aku, hanya jarang-jarang dapat melihat pemandangan ini. Kali terakhir yang aku tengok ialah tentera kuning setahun dua yang lepas. Pun di tempat yang sama. Arah tuju mereka pun sama.

Selain itu, aku hanya pernah menyaksikan panorama ini pada tahun 1998. Aku sendiri sudah lupa, siapakah gerombolan itu. Seingat aku mereka tidak berseragam warna seperti ini. Hanya dihujung-hujung musim, baru kedapatan keseragaman. Semua mereka beriben putih!

Ingatan itu masih melekat kuat dibenak aku.

Berbalik pada peristiwa semalam, ada juga tentera putih itu yang membawa anak-anak kecil. Ada anak yang didukung, ada anak yang dipimpin, ada anak-anak yang ditolak dengan kereta sorong, ada anak-anak yang dibiarkan berlarian riang sendirian.

Ada juga yang berkerusi roda. Ditolak oleh keluarga dan kenalan terdekat. Berhimpit-himpit dalam ribuan orang.

Sering aku lihat, di pasar atau di mana-mana tempat yang ramai orang, akan ada yang jadi pembengis dan pemarah. Sebabnya kerana rimas berhimpit-himpitan.

Tetapi semalam tidak begitu. Mereka menjadi riang dan penyabar. Umpama menyambut hari raya. Kerana aku masih ingat, walau apa pun salah aku, emak tak pernah merotan dan memarahi pada hari raya. Sebabnya hari raya adalah hari untuk orang menjadi riang, bukan untuk marah-marah.

Kanak-kanak juga keriangan, mencelah-celah di celah ribuan orang. Entahlah, mungkin mereka memikirkan semalam adalah penghulu hari raya. Hari raya yang disambut setiap tahun itu adalah hari biasa, semalam adalah bos kepada semua hari raya tersebut.

Mereka juga sangat sporting, tolong menolong dan saling bantu membantu. Nak lompat divider ditolongnya, tercabut selipar ditolongnya, nak langkah longkang ditolong juga.

Entahlah, mungkin semalam boleh dinamakan sebagai hari tolong menolong.

Mereka juga sangat berdisiplin. Tidak ada yang membuang sampah. Tidak ada yang menggentus bunga dan daunan, tidak ada yang mencoteng tembok, tidak ada yang merosakkan apa saja.

Pendek kata semalam adalah hari sifar vandalisme.

Namun, umpama iklan dalam tv, tiba-tiba keriangan semalam lenyap!

Tiba-tiba terdengar raungan dan tangisan anak-anak kecil yang tadi begitu riang.
Tiba-tiba terdengar tangisan ibu-ibu yang tadinya begitu petah melayani setiap bicara anak-anak.

Tiba-tiba gerembolan orang berbaju putih tadi bertempiaran.

Dalam hiruk pikuk, aku cuba membantu anak-anak kecil tadi. Kerana naluriku kuat mengatakan, mereka umpama anak-anakku sendiri. Kasihku pada anak-anak kecil terlalu tinggi, biarpun anak siapa pun mereka.

Tiba-tiba mataku menjadi sangat pedih. Terlalu pedih. Kerongkong jadi tersumbat. Nafas tersekat-sekat. Hamper pitam aku dibuatnya.

Barulah aku tahu, rupa-rupanya tentera putih tidak bersenjata dan wajah penuh kedamaian tadi diserang oleh tentera biru gelap berkepala merah.

Lama scene itu berlangsung. Memang tidak mampu untuk aku filemkan kat sini.

Ringkasnya, anak-anak tadi, orang tua dan wanita yang lemah kemudiannya di bawah ke masjid. Berlindung di rumah Rabbul Jalil. Inilah dakwaku sebagai tempat paling selamat di dunia, bahkan untuk akhirat juga.

Kebetulan, di perkarangan masjid itu ada buaian. Maka adalah antara anak-anak itu sambil ditemani ibu mereka bermain buaian. Sekali lagi wajah mereka kembali girang.
Tiba-tiba telingaku pantas menangkap detingan loceng yang bertalu-talu. Pengalaman cepat memberitahu bunyi loceng itu umpama bunyi loceng untuk memanggil beribadat bagi satu agama yang ada kat bumi melayu ini.

Tapi loceng ini lain maknanya.

Sebab, sejurus kemudiaan aku dan anak-anak kecil tadi pantas dihujani desiran air tajam yang pantas menerpa. Terpelanting semua yang berada di laluannya.

Cepat-cepat aku lari, sambil bantu mengangkat anak tadi supaya naik ke masjid. Tangga sudah penuh, terpaksa angkat melalui tebing berumput hijau.

Tiba-tiba terjatuh sesuatu di kaki ku, ketulan kecil yang berdesir mengeluarkan asap tebal. Lalu asap tersebut menerpa mata dan hidungku sepantas kilat.

Seksa neraka apakah ini?

Lantas dengan langkah yang cacat aku lari mencari tangga, tangga penuh dengan orang berbaju putih. Juga mahu melarikan diri.

Aku terperangkap di situ.

Tiba-tiba satu lagi ketulan yang sama, berdesir mengeluarkan gas yang memeritkan, jatuh di kaki. Aduh terpaksalah aku menghidunya sekali lagi.

Seperti mana cerita-cerita yang lain. Cerita ini juga bersambung kemudian. He he he..