Monday, May 25, 2009

Sejarah Yang Hilang

Hati meronta-ronta untuk menulis dan berbicara tentang perjuangan golongan kiri dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Tapi terpaksa dibatalkan kerana bimbang dipaksa berkursus di Kem Kemunting pulak nanti.

Gelodak ini beriak apabila mual dengan amaran Menteri Penerangan, Rais Yatim yang meminta Kementerian Dalam Negeri bersiap siaga untuk mengISAkan mana-mana penulis blog tentang perjuangan PKM.

Begitulah, sering sahaja kuasa dan kediktatoran dijadikan senjata utama untuk mematikan sesuatu hujah yang berlainan, bukannya hujah berasaskan nilai akademik yang digunakan.

Dari dulu hingga sekarang, aku tidak pernah bersetuju dengan ideologi Parti Komunis Malaya (PKM). Apatah lagi perjuangan itu jauh tersimpang daripada konsep jihad dalam Islam.

Namun hati sering berlagu pilu, tersentuh dan syahdu apabila mengenangkan sejarah kelahiran Rejimen Ke 10 PKM pada 21 Mei 1949 di Kerdau, Termeloh.

Teman2 boleh melihat pendirian ini dalam banyak tulisan2 sebelum ini. Antaranya http://puteragunung tebu.blogspot. com/2008/ 10/shamsiah- fakeh-perginya- pejuang-bangsa. html

Aku masih berpendirian, jika penjajah British tidak mengharamkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Pembela Tanah Air (PETA), Barisan Tani Malaya (BTM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Hizbul Islami dan lain-lain gerakan kemerdekaan yang lain (kecuali UMNO), Rejimen Ke 10 PKM tidak akan diwujudkan.

Semua pemimpin Rejimen Ke 10 adalah bekas pemimpin gerakan kemerdekaan ini yang telah diharamkan dan akan ditangkap (sebahagian telah ditangkap, termasuk Burhanudin Helmi).

Inilah sejarah yang hilang daripada silibus pendidikan anak-anak kita di sekolah.

Setiap tahun, bahkan bulan, akan ada antara bekas pejuang kemerdekaan ini yang pergi bertemu Ilahi. Hari demi hari sejarah gemilang perjuangan kemerdekaan bangsa tercinta telah dibawa pergi.

Sebulan lebih yang lepas, Pak Abu Samah juga telah meninggal, hanya beberapa bulan selepas Shamsiah Fakeh.

Walau hati sayu, aku tak berani nak menulis banyak tentang pemergian Pak Abu Samah.

Tak berbaloi langsung kalau diISAkan hanya kerana itu.

Kerana aku bukan komunis, dan memang benci kepada PKM.

Namun aku mengakui sebahagian besar pemimpin dan anggota Rejimen Ke 10 PKM adalah bekas pejuang kemerdekaan tanah air tercinta ini.

Penjajah Britishlah yang menjadikan mereka komunis.

Tak percaya, tanyalah Tan Sri Aishah Ghani. Beliau masih hidup. Beliau adalah memoir bergerak yang menyimpan sejarah ulung gerakan kemerdekaan negara, khususnya Angkatan Wanita Sedar (AWAS).

Lebih malang, kita gagal menyelesaikan kemelut ini walaupun negara merdeka pada tahun 1957. Hanya pada tahun 1989 barulah terhasil genjatan senjata. Itupun setelah ribuan nyawa terkorban, ribuan anak menjadi yatim, ribuan isteri menjadi balu.

Pintaku hanya satu, janganlah disorok sejarah.

Biarlah sejarah yang benar terus menjadi asas pemikiran bangsa merdeka ini.

Persetankan Chin Peng dan kepimpinan PKM lain yg memang bertauhidkan komunis itu.

Tapi berilah sedikit keadilan untuk Abdullah CD, Rashid Maidin, Kamarulzaman Teh, Mat Amin, Mat Indera, Shamsiah Fakeh, Manap, Cikgu Taha, Mat Kerinau, Maimun, Asiah, Hidzir, Ali Boyok, Yasin, Jidin, Alias, Bakri, Zahura , Abu Samah dan lain-lain itu.

Pak Abu Samah sebagai contoh, adalah cucu kepada Datuk Bahaman.

Darah pendekar Melayu yang mengalir dalam tubuhnya itu.Bak kata Usman Awang (bukan ditujukan kpd abu samah),

Jika hilangmu tanpa pusara
Jika pusaramu tanpa nama
Jika pusaramu tanpa bunga
Mereka mengatakan kau penderhaka
Engkau tetap pahlawan
Sungai Pahang berubah merah
Rumput tebingnya segala musnah
Satu-satu pahlawan rebah
Arus merahnya menjulang mayat
Pahlawan bangsa pahlawan rakyat
Tujuh liang dadanya tersayat


Sebahagian pemimpin Rejimen Ke 10 t dgn pantun pertiwi turut berkobar semangatnya oleh puisi Burhanudin Helmi;

Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan Jiwa Merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.


Apabila saya berbicara secara ilmiah begini dgn kawan-kawan, ada yang bertanya.. "Jika engkau hidup pada waktu itu, dan engkau salah seorang pemimpin API atau Hizbul Muslimin atau KMM, adakah engkau akan turut menyertai Rejimen Ke 10?

Jawabku...

"Pada waktu itu kita dijajah oleh Inggeris. Dan prinsip hidupku,

DARI HIDUP BERCERMIN BANGKAI, BAIK MATI BERGALANG TANAH!

Tuesday, May 12, 2009

Mahkamah Mohon Derhaka

Kisah 1

Pada zaman dahulu kala, Bendahara Tun Perak telah menyembah derhaka kepada Sultan Melaka apabila tidak menjalankan arahan supaya membunuh Hang Tuah. Hang Tuah telah difitnah oleh pembesar istana yang dengki kepada beliau. Merasakan titah Paduka Sultan Melaka tidak betul, Bendahara Tun Perak tidak melaksanakan perintah tersebut. Beliau telah menyembunyikan Hang Tuah di Ulu Melaka.

Akhirnya sejarah telah membuktikan derhakanya Tun Perak memberi makna besar kepada negeri Melaka pada waktu itu. Walaupun Hang Jebat juga perlu dilihat sebagai pahlawan besar yang dadanya penuh dengan nilai persahabatan dan keadilan, namun penderhakaan Tun Perak telah dilihat oleh sejarah sebagai faktor utama kekacauan yang ditimbulkan oleh Jebat berakhir.

Kisah 2

Barisan Nasional (BN) berjaya menculik, memujuk dan mengugut tiga ADUN PKR untuk keluar daripada Pakatan Rakyat (BN). Akibatnya kerajaan PR Perak hilang majoriti kecil yang dimiliki selama 11 bulan memerintah Perak. Tiga orang ADUN yang keluar PR telah menyatakan sokongan kepada BN, untuk membolehkan BN membentuk kerajaan baru negeri Perak.

Datuk Seri Nizar diarahkan oleh Paduka Sultan Perak supaya meletak jawatan sebagai menteri besar. Merasakan keputusan yang dibuat oleh Paduka Sultan berlaku kekhilafan dari segi mentafsir perlembagaan, Datuk Seri Nizar menyembah derhaka untuk tidak mematuhi titah Paduka Sultan.

Walaupun tidak meletak jawatan, namun sultan Perak tetap menabalkan Datuk Zambry yang dikuatiri ramai tentang darjah kemelayuannya itu sebagai Menteri Besar Perak.

Tinggalah Datuk Nizar sebagai penderhaka yang dijaja sana sini derhakanya itu.


Kisah 3.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Datuk Seri Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah. Datuk Zambry Abd Kadir adalah Menteri Besar yang haram.

Dengan kata lain, keputusan Mahkamah Tinggi KL secara metaforanya berbunyi... "Ampun Tuanku Paduka Sultan Perak, sembah patik harap diampun, sembah patik sembah derhaka. Maka adapun mengikut perkiraan patik yang hina ini, Tuanku Paduka sudah tersilap. Menteri Besar Perak yang sah adalah Datuk Seri Nizar, bukan Datuk Zambry yang iras-iras Saudara Gopi itu.."

Kisah 4.

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi KL.

Apakah kesudahan kisah penderhakaan ini?

Tunggu......

Monday, May 11, 2009

Nizar Menteri Besar Yang Sah

Dipetik dari Malaysia Kini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Dalam penghakimannya, hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan.

Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian.

Permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk menangguhkan penghakiman tersebut ditolak oleh mahkamah.

Mengulas kemenangannya, menteri besar Pakatan Rakyat itu berkata beliau akan menghadap Sultan Perak berhubung penghakiman mahkamah tersebut.

Pada 13 Februari lalu, Mohamad Nizar memfailkan saman mencabar pelantikan Zambry di kompleks mahkamah Jalan Duta, kira-kira seminggu selepas rampasan kuasa BN dan sekali gus pelantikan wakil rakyat BN itu.

Mohamad Nizar, ADUN Pasir Panjang, juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah perisytiharan bahawa Zambry yang dilanti 6 Februari lalu tidak berhak memegang jawatan menteri besar.

Dalam permohonan itu, wakil rakyat PAS itu mendakwa beliau masih menteri besar yang sah atas tiga alasan berikut:

(i) Tidak terdapat pembubaran DUN Perak;

(ii) Tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh DUN terhadapnya sebagai menteri besar Perak; dan

(iii) Tidak terdapat peletakan jawatan menteri besar Perak.

"Melalui kenyataan media pejabat Sultan pada 5 Februari 2009, Sultan bertitah tidak akan membubarkan DUN dan sekiranya saya serta ahli majlis mesyuarat negeri tidak meletakkan jawatan, jawatan kami akan dianggap kosong.

"Saya menegaskan bahawa walaupun terdapat usaha mengusir saya daripada jawatan menteri besar Perak, saya masih menteri besar dan masih menjalankan fungsi dan tugas dengan baik, cermat dan adil," katanya dalam afidavit, menyokong permohonan itu.

Mohamad Nizar juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya responden memberikan tunjuk sebab bagaimana dan di bawah dasar apa Zambry, sebagai responden, berhak memegang jawatannya sekarang.

Beliau mendakwa responden secara tidak sah mengambil dengan tiada hak dan merampas jawatan menteri besar, serta menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai menteri besar secara tidak sah dan bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Nizar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang responden daripada melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas menteri besar di negeri itu.